Monday, January 18, 2010

Rahsia 5A



Pihak sekolah, melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling sedang menjejaki 35 orang ibu dan bapa yang telah berjaya mencapai impian "Anak Cemerlang" dari "Keluarga Cemerlang".

1. Keinginan Diri Sendiri

Berdasarkan konsep itu,beberapa orang telah menjawab panggilan telefon, antaranya En.Shahruddin, anaknya Nabil berjaya mendapat 5A. Menurut beliau, faktor yang paling utama ialah keinginan diri sendiri yang ada pada anaknya.

2. Pemantauan.

Selain itu, ibu bapa juga selalu memantau perkembangan "result" bulanan anak-anaknya. Mereka berbincang dan sepertinya mengadakan sesi kaunseling dalam rumah tersebut. Kenapa markah kamu begini dan bagaimana nak capai 5A kalau begini, jadi kamu harus begini ... dan begini. Begitulah yang dilakukan oleh ibu bapa cemerlang.

3. Gertak

Tidak dinafikan teknik gertak anak oleh sang ayah juga ada perlunya. Walaupun gertakan itu hanyalah sebagai "warning sign" sahaja. Namun nilai ketegasan sebenarnya yang ada disebalik gertakan itu semua.

4. Doa

Ibu bapa yang inginkan anaknya berjaya, sememangnya sentiasa berdoa dari awal tahun dan meminta anaknya sentiasa berdoa.

5. Belajar Bersama

Ibu bapa terpaksa berkorban banyak hal untuk mencapai kejayaan anak. TV terpaksa dilupakan buat seketika. Berkata En.Shahrudin, kita boleh menonton TV sambil anak membuat kerja rumah, tetapi itu tidak lama, kita (sebenarnya) harus tutup TV dan duduk disampingnya, paling tidak bacalah apa-apa buku. Kebaikannya jelas beliau, masa berlalu pun kurang dirasakan oleh anak-anak.


6. Bertanya

Sementara itu, Puan Rozie ibu kepada Dayana Sabrina yang juga mendapat 5A memberitahu, dia sentiasa meminta anaknya memberi tumpuan penuh dalam kelas semasa guru mengajar, jika ada sesuatu yang tidak difahami, terus bertanya. Jangan mengamalkan sikap suka menangguh.

7. Memberi Tekanan Mata Pelajaran Lemah

En.Nor Azli pula menekankan anak-anaknya pada mata pelajaran yang lemah. Beliau membantu anak-anak dengan membeli buku-buku rujukan seperti Gaya POs, Berita Harian (AKhbar Didik), dan buku-buku latihan lain.

8. Pemakanan

Ada pula mengamalkan gaya pemakanan tambahan seperti suplemen Omega Plus, Kismis dan Vitamin C. En.Azli katanya, kita perlu berkorban untuk melihat mereka berjaya. Tanpa pengorbanan awal ini, kelak kita akan terkorban.

9. Sokongan Tanpa Henti

Sangat penting ibu dan bapa sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anak. Berusaha untuk memenuhi apa keperluan mereka, walau pun kadang-kadang terasa peritnya mengeluarkan banyak duit.

10. Berikan Kemahiran dan Kasih Sayang

Ibu kepada Zachriya, bekas pramugari pula memberitahu, berikan kasih sayang pada anak-anak. Pada saya, kekerasan tidak boleh menjadikan anak-anak berjaya. Jika anda mempunyai kemahiran dalam mata pelajaran, curahkan untuk anak anda. Jika tidak, berikan kasih sayang, mereka pasti akan menyedari jiwa ibu dan bapa yang sangat mengharapkan anaknya berjaya.

Setakat ini, itulah rahsia yang sempat dirakamkan. Terima Kasih kepada semua yang menjawab panggilan. Semoga anak-anak tuan-tuan dan puan-puan terus berjaya.
 

No comments:

Post a Comment