Friday, March 19, 2010

Bekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok – Puteri

KUALA LUMPUR 19 Mac - Pergerakan Puteri UMNO menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) membekukan pengambilan pekerja asing dari Lombok, Indonesia berikutan trend kahwin lari melibatkan gadis-gadis Malaysia dengan lelaki dari wilayah terbabit yang semakin membimbangkan kini.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pihaknya memperoleh maklumat yang mendakwa kira-kira 500 wanita Malaysia berada di Lombok sekarang ini, akibat terjerat oleh ikatan perkahwinan dengan lelaki dari wilayah berkenaan semasa mereka bekerja di negara ini.

"Pembongkaran satu demi satu kes kahwin lari melibatkan lelaki dari Lombok menuntut satu mekanisme yang perlu dilaksanakan segera oleh kementerian berkenaan bagi membendung gejala yang tidak menyenangkan itu.

"Puteri UMNO percaya ada lagi kes gadis Malaysia nekad meninggalkan keluarga masing-masing gara-gara berkahwin dengan lelaki dari Lombok dan terpaksa mengharungi penderitaan sepanjang berada di negara orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rosnah berkata, pihaknya tidak mahu trend yang semakin berleluasa itu mengakibatkan ramai gadis terpaksa berkorban masa depan mereka dan anak-anak yang bakal lahir. – Bernama

 

No comments:

Post a Comment