Thursday, October 28, 2010

Apa yang tersurat di sebalik kehilangan Balqis

Tiada siapa yang mahu mengalami kes misteri seperti apa yang sedang di alami Siti Balqis.

Kes Siti Balqis hilang dari alam dunia ke alam ghaib (alam tak nampak) seakan memberitahu kepada manusia yang belum tahu, bahawa hidup ini berlapis-lapis. Ya, kita tinggal di atas satu dunia, yakni satu kehidupan, namun disebalik kehidupan kita ini, masih ada kehidupan lain.

Wujudnya UFO yang tidak dapat dipastikan dari negeri mana datangnya dia juga sebagai satu petanda darinya.

4 Alam Berlapis

Saudara, mungkin ramai belum atau sudah sedar, bahawa alam yang kita diami ini ada 4 lapisan. Lapisan pertama namanya alam Syahadah, alam yang boleh disaksikan, oleh mata kepala kita sendiri, itulah alam manusia. Manusia, secara umumnya hanya boleh melihat alam ini sahaja. Di sekolah, benda ni tak di ajar secara khusus, kalau pun ada, dalam mata pelajaran Agama. Dalam PJK, Sivik Kenegaraan....susah nak jumpa.

Disebalik alam kita ini, ada alam kedua, yang tidak nampak dilihat oleh manusia, namanya alam jabarut, atau alam ghaib, dimana alam tempat tinggal jin, atau orang Melayu panggil hantu bungkus, pocong, kopek lanjut, raya dan sebagainya, dikatakan bahawa, di akhirat besok, manusia boleh melihat jin, manakala jin pula tidak dapat melihat manusia. Jumlah jin lebih ramai dari manusia, kira-kira satu orang manusia, menyamai 9 orang jin. Menurut cerita, Jin ada yang bertanduk, hodoh, cantik macam perempuan, jahat dan ada segelintir yang beriman. Jin yang pondan...entah ada ke tidak.

Alam ketiga pula lebih dalam, sehingga jin sendiri tidak boleh melihatnya, apatah lagi manusia, alam itu ialah tempat tinggal para Malaikat, namanya alam Malakut. Namun Malaikat dapat melihat alam jin dan manusia. Jumlah malaikat adalah lebih ramai dari manusia dan jin, satu jin menyamai 9 malaikat. Tugas manusia dan jin adalah beribadat kepada Tuhannya, manakala malaikat sebagai pengawas atau polis trafik, memerhati gerak geri manusia dan mencatatnya dalam buku saman khas, untuk dibawa ke mahkamah pengadilan nanti di padang mahsyar.

Dan alam keempat, tempat tinggalnya kerajaan Ilahi, namanya alam Ilahut. Malaikat sendiri pun tidak dapat memasuki dan melihat alam tersebut, namun TUHAN, boleh dan sedang menyaksikan semua alam ini, kerana Dialah pencipta kesemua alam.

Boleh tak kita berkomunikasi dengan alam jin?

Dalam biodata saya di atas, saya ada menulis, bahawa satu ketika saya pernah melihat jin di sebuah masjid. Maknanya, manusia memang boleh melihat jin, jika tirai alam ghaib yang menutupi alam manusia di angkat. Atau, samada jin itu sendiri yang menonjolkan dirinya.

Bahkan manusia boleh berkomunikasi dengan jin, samada ketika jin masuk dalam badan manusia atau bercakap secara langsung. Pernah seorang guru, didatangi jin, dan membawa ribuan pengikutnya, katanya sudah lama saya mencari anda, tetapi disini baru jumpa, saya kata jin itu, ingin menerima sebuah amalan dari tuan dan mohon disampaikan kepada anak buah saya ini.

Juga, seorang wali besar pada zamannya, Syeikh Abdul Kadir al-Jailani, ketika diminta tolong oleh seorang hamba Allah, mengadunya anak perempuannya hilang dibawa lari jin, beliau menyuruh orang itu pergi ke tengah padang pasir, buat lingkaran bulat di atas tanah. Tak lama kemudian datanglah jin, ada apa kamu disini tanya jin itu. Jawabnya anak saya dilarikan oleh kaum mu, jin itu kemudian melaporkan pada ketuanya, menyebabkan ketua nya sendiri turun memeriksa pernyataan tersebut, lalu dikumpul semua anak buahnya, lalu ditanya, siapa antara kamu yang telah menculik anak manusia, memang ada yang mengaku dan di arah menyerah kembali kepada bapanya.

Kisah ini, bukan satu hal yang pelik. Tuhan memang mencipta pelbagai makhlukNya. Dengan kehilangan Balqis, sedarlah saudara semua, bahawa alam yang kita diami ini adalah sementara sahaja, ada lagi alam lain yang akan kita semua ke sana, baik secara terpaksa atau pun rela. Sebelum kita dijemput, atau diheret, marilah, dipagi Jumaat ini, tazkirah ini mengajak kita menjadi manusia yang hari ini lebih baik dari semalam.

Jangan sampai kita menyesal, kerana pergi tanpa persiapan, ibarat orang yang sedang berseronok dimalam hari menonton televisyen, tiba-tiba datang tsunami menerpa, matinya dia tiada siapa yang sangka.
 

No comments:

Post a Comment