Friday, March 2, 2012

Masa Bergembira Kita Ada, Tapi Tak Punya Masa Menangis

NILAI.02 Mac 2012.  Mungkin ramai antara kita yang jarang menangis. Kalau ya pun menangis, hanya dalam hati. Mengenang nasib diri yang malang atau kerana tidak dihargai oleh orang lain. Lebih banyak masa yang kita cari adalah untuk ketawa dan bergembira. Hatta terjadi, orang-orang yang banyak wang, menggunakan nikmat itu ke jalan yang salah. Saya pernah berjumpa sahabat yang mempunyai klien berpendapatan RM30,000 sebulan, dek kerana tidak tahu memanfaat wang tersebut, dia mengambil syabu buat menambah kebahgiaan (kononnya).

Jarang antara kita yang menyiapkan satu waktu untuk menangis. Kita banyak siapkan acara, momen indah, pertemuan itu dan ini, yang semuanya dalam ruang lingkup untuk kesenangan jiwa. Pantas bicara, untuk kita sesama kita, lalu dimana dari kita untuk Allah? Untuk tuan punya tubuh badan kita. Yang memberi kita segala nikmat di dunia, yang menunggu kita sembari kita pulang menemuiNYa nanti? 

Kawanku, anak isteri suami dan makluk ini semuanya makluk yang akan fana. Wujudnya  makhluk itu adakalanya bagaikan  fatamorgana. Kelihatan ada, tetapi tidak ada. Ia akan sirna pabila tiba masanya.Kita yang akan terlonta-lunta. Sang ibu yang meninggal dunia, anak nya masih kecil, sekian tahun berlalu, jumpa dengan saya di SK Kuala Pomson, dalam sesi ceramah saya bertanya, siapa antara kamu yang sudah kehilangan ibu atau ayah? Dua orang murid  mengangkat tangan, seorang ditanya, "Apa kamu buat bila ingatkan mak kamu?" 

"Saya buat bodohlah" Jawabnya selamba. Subhanallah, kesian betul sang ibu ini. Lalu saya memperbetulkan, lain kali bila ingat mak, bacalah Al-Fatihah, kamu jangan tinggal solat.Kasihani lah ibu kamu yang sedang berada di dalam lapisan bumi".

Dalam agama kita mengajar, menyeru, menyaran  kita supaya menangis. Sabda Nabi, "Jika engkau mengetahui seperti mana aku ketahui, nescaya kau banyak menangis dari ketawa". Tangisan rupanya boleh memberi ketenangan kepada jiwa. Membentuk peribadi yang positif, kuat mental menghadapi cabaran. Ada juga kajian mengatakan, kenapa perempuan rata-rata panjang usianya, sebab nya mereka sering menangis.Enzim tangisan membuat mereka jadi lebih panjang usianya ketimbang lelaki.

Tanyalah dimana-mana, siapa antara kamu yang sudah kehilangan orang tua? Kalau 10 orang angkat tangan, 8 dari mereka mengaku, ayah yang telah meninggal dunia.Subhanallah. Mana kaum Adam? Mana kaum lelaki yang gagah perkasa ? Saya ingin berpesan kepada anda, kita semua akan pergi lebih dahulu dari kaum ibu.

Pernah satu ketika, saya dan rombongan ke tempat rawatan penagihan tradisional di Kelantan, dalam lawatan ini saya bertemu beberapa orang mak cik yang sedang duduk bersembang di atas wakaf.

Mak cik, suami mak cik mana?
Tanya saya. Hmmmmm dah meninggal dah jawabnya.

Dah meninggal dah...berapa lama dah makcik? Sambil termenung sekejap.dia mengira, dah masuk 40 tahun dah.

Jawapan ini membuat saya rasa sangat terkejut.Seorang suami meninggalkan isteri 40 tahun.Sedangkan isterinya terus menjalani kehidupan dengan penuh keuzuran, apalagi memasuki usia tua renta.Saya tersentak. Nah.... benarlah...kita hidup sementara cuma.

HIDUP...kata guru saya ialah, Hanya Ini Dunia Untuk Pengabdian. Lalu untuk apa MATI. Mati adalah tujuannya Mempersembah Amalan Terhadap Ilahi.

Sungguh kesian pada seorang lelaki, yang ke sana sini, mencari rezeki buat anak dan isteri, kemudiannya dia meninggal dunia, sedang dia alpa dengan tuhannya.Solatnya tidak full, puasanya kerana WAJIB. Kalaulah bukan kerana syariat, pasti dia memilih untuk tidak berpuasa. Apalagi mengiringi dengan dzikir dan menjaga amalan zikirnya dari hilang dalam amalan hidupnya.

Memadam Api Neraka

Air mata sang mukmin atau mukminah yang menangis kerana takutkan Allah, boleh memadam api neraka. Tujuh golongan yang akan duduk di bawah Naungan Arasy di padang Mahsyar kelak pun, antaranya yang pernah menangis semasa hayatnya lantaran takut kepada Allah.

Seorang sahabat datang berjumpa Rasulullah, "Wahai Rasulullah, kenapa keras sangat mataku, hingga tak boleh menangis". Jawab Nabi,

"Bekunya mata (dari menangis) adalah kerana kerasnya hati, kerasnya hati lantaran banyaknya dosa, banyaknya dosa kerana panjang angan-angan, panjang angan-angan kerana cintakan dunia, dan cintakan dunia (itu) kepala bagi segala kejahatan"

Antara ciri orang muttaqin ialah, "Wa yas taghfiruuna bis ashar" mereka bangun minta ampun diwaktu sahur. Saudaraku, kita sesungguhnya hampir tak punya masa untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.(kalau ya pun, sebab hukum WAJIB) Sebahagian dari kita solat, bukan kerana ingin menghampirkan dirinya kepada Allah, sebaliknya solatnya hanya untuk menunaikan tangjungjawab sahaja. Berbeza tu, antara menghampirkan diri dengan sekadar menunai kewajipan. Orang yang sekadar menunai keWAJIBan nya, dia akan buat dengan batang tubuh dia sahaja. ruhnya tidak bersama-sama.

So, kita perlu sisihkan masa untuk berdamping dengan Tuhan. Untuk berdoa, minta ampun dan merintih. Menangisi masa lalu yang terbuang begitu sahaja. Menangisi masa depan yang belum tentu bagaimana.

Pernahkah anda bermimpi seseorang yang anda kenali akan meninggal dunia? Selepas itu anda terbangun kan? Sungguh nikmat mimpi itu, mimpi itu mengejutkan kita bukan sahaja dari tidur dimalam hari, tetapi dari lena yang panjang disiang hari.

Bangunlah untuk minta ampun. Kita ini banyak dosa.Bangla, Nepal dan Vietnam yang kelihatan tidak terurus, mungkin dia lebih baik dari kita.Andai kata kita meninggal dunia hari ini atau besok, belum pasti ke mana kita akan dilontarkan.Ya kan?

Kita mungkin pernah (seperti) tidak bersetuju dengan kehendak Allah. Allah telah menakdirkan untuk kita begini, sedang kita mahu begitu. Lain Allah nak, lain kita inginkan. Pada saya, itu dosa yang tersembunyi. Kehendak kita berbeza dengan yang menciptakan diri kita. Sedang Dia tahu apa yang lebih baik buat kita.Kehendak sang anak, yang berlawanan dengan ibunya sahaja sudah dikira tidak bagus. Inikan pula kehendak kita yang hina-dina dengan Iradah Nya.Subhanallah.

Orang-orang sufi bangkit melepaskan rasa rindu mereka kepada Allah, rindu untuk bertemu dengan yang dirindu. Namun malang seribu kali malang, kalau kita tidak rindu pada yang TERLALU banyak berjasa pada kita.Bukankah dia nama Allah? Kita berdosa...merindui makhluknya.... sedang belum pasti dia pun ke mana akan pergi.
 

2 comments:

  1. minta izin share tulisan ini di blog saya...

    ReplyDelete
  2. silakan Angah...terima kasih sebab panjangkan penulisan ini.semoga ada manfaatnya buat anda jua

    ReplyDelete