Tuesday, May 29, 2012

Kisah penagih yang saya temui

Masa duk tunggu van saya kena operate (tukar ganti perkakas penghawa dingin), Fuh... setakat duk bela Vannete ni, ini kali ke tiga saya ganti Compressor nya.

Saya menghabiskan masa menunggu itu dengan membaca Kosmo dan Harakah.Sebelum ke bengkel di Jalan Reko tadi, sempat singgah nak dapatkan dua akhbar ini, sebab saya dah diberitahu akan memakan masa selama lebih 3 jam.(Mula jam 9.30 hingga 3.50 baru siap)

Mula-mula selak Tajuk Utama Harakah, ye lah asyik baca Berita Harian je kat internet, nak langgan pun tak sempat baca semuanya. Kemudian saya mula membaca Kosmo, helaian demi helaian.

Seronok dan tersenyum pabila membaca tentang Kisah Bekas Penagih yang berada di Pulau Carey Kuala Langat. Tempat itu adalah milik Sime Darby. Bekas penagih yang ingin berhenti diberikan tempat di situ untuk menginap dan bekerja sebagai pemotong rumput. Saya pernah di ajak ke situ beberapa tahun yang lalu (2008) untuk memberikan satu syarahan kepada mereka ini.

Mereka awalnya bukan kenal pun siapa saya. Cuma rakan saya (En.Razif) dulunya bekerja dengan AADK dan kini bekerja di bawah Kementerian Dalam Negeri mengajak saya bersama dengan seorang Pegawai Polis yang juga rakan saya dalam SPADA.

Memang sambutan tak sehebat mana. Sebabnya, mereka pun tak ramai yang menghuni disini. Dan kawan saya bagi tau, mereka sebenarnya tak nak dengar pun kalau orang lain yang bagi ceramah, pada mereka kita ni tak tahu pun jiwa dan perasaan mereka. Mereka, kalau nak dengar pun, syarahan dari sesama mereka.

Namun saya rasa bersyukur, sebab itu pertama kali dibawa ke Pulau Carey. Kami mulakan dengan bacaan Yasin, kemudian susuli dengan syarahan motivasi untuk membawa diri lebih hampir dengan Tuhan, meninggal semakin jauh dunia alpa, pedulikan dengan masyarakat sekeliling. Yang penting kita sudah ada nawaitu dan kita sedang berada di atas jalan menuju ke sana.

Beberapa orang yang tinggal disini (seperti dilaporkan KOSMO) tidak berkahwin, mereka khuatir jika perkahwinan akan menambah siksa hidup dia dan orang lain.Sedang memandu diri sendiri pun bukan main susah. Sebagai manusia, memang ada niat untuk hidup berkahwin.Biarlah.... sampai meninggal meninggal mereka rela begitu.

AL-KISAH

Nak cerita, salah seorang penghuni yang tinggal disitu (pada waktu itu) sudah pun disahkan terkena HIV. Punyalah dahsyat, tiap-tiap bulan dia terpaksa mencari wang sebanyak RM1200.00. Wang ini bukan untuk makan, tetapi untuk membeli ubat bagi melawan penyakit HIV nya itu.

Belum lagi untuk makan minum dan tempat tinggal. Kawan kita ni terpaksa berulang-alik ke hospital 2-3 kali sebulan untuk mendapatkan ubat, mana tidaknya marah bos dia.Asyik-asyik cuti cuti, nak pergi hospital, akhirnya terpaksa berhenti kerja.

Nasib baik dia sudah mempunyai isteri.Mungkin kerana taubatnya yang sungguh-sungguh ALLAH bantu hidupnya.Isterinya pun menyedari dirinya memang ada HIV, tetapi dengan rela hati menerimanya sebagai suami.

Saya tersenyum bila membaca nama Hafney Abdul Rahim tertulis dalam akhbar ini.Nama Hafney memang dikenali di AADK. Beliau bekas penagih tegar yang kini menjadi Pengerusi PENDAMAI Malaysia. PENDAMAI ialah Persatuan Bekas-bekas Penagih Dadah. Anda... kalau belum menagih, tak cukup syarat untuk menjadi ahli. Haha.Beberapa kali saya pernah bersama En.Hafney dipentas syarahan. Namun beberapa waktu ini semenjak kaki beliau kena potong, saya kurang bersamanya lagi.2 Kali ceramah saya dijadual bersamanya pun tidak kesampaian, ada hal yang lebih urgent lagi.

Saya ada kisah lain. Satu malam, pada malam hari raya, saya di ajak ke Pusat Serenti untuk menghadiri satu majlis tertentu.Dalam majlis ini, semua penagih dikumpulkan dalam sebuah dewan, lampu dimatikan. Ditengah-tengah dewan ini ada sebuah Replika Masjid, yang di dalamnya ada beberapa buah lampu-lampu kecil.

Untuk menaikkan semangat hari raya dan rasa keinsafan, lagu hari raya dimainkan.Seorang penagih mengepalai majlis ini, dia keluar dari barisannya, kemudian menghampiri replika masjid, dengan kepala tangan di atas meja replika masjid, dia menunduk dan meletakkan kepalanya di tangan, dia menunduk, kemudian menangis, selang beberapa detik kemudian dia mulai bercerita. 

Alangkah sedihnya hati ini, disaat orang lain sedang berkumpul bersama keluarga tersayang, aku mendekam disini gara-gara dadah, Tiada siapa peduli aku lagi. Satu persatu di buka. Kisah silam diselak. Setelah meluahkan semua perasaannya, kemudian dia masuk.

Saya diberitahu, biasanya, apa yang dia pendam sekian lama, akan terkeluar pada malam ini.

Seorang lagi keluar,  katanya ibunya sudah lama mati, mati perasaannya kerana dia, aku yang bunuh ibu akuuuuu.... aku yang bunuh perasaan ibu aku.... akulah manusia yang paling jahil dan bodoh dalam dunia ini.... ayah aku pernah membawa aku ke Mekah supaya bertaubat, sedang dalam poket aku masih ada dadah. Aku pergi Mekah percuma.... mana ada orang dalam dunia seperti aku... lanjutnya.

Semasa ibu aku meninggal.... aku turunkan jenazah ibu aku ke dalam liang lahad, tetapi tiada siapa pun tahu, aku masih membawa sepekat dadah dalam poket ku masa itu...itu lah aku..

Seorang lagi berkata semasa saya membuat temubual, dia berasal dari Utara, apa sebab kamu ada niat nak berhenti Wan? Katanya, semasa dia dan dan kawannya sedang asyik menghisap dadah di dalam kebuh getah, tiba-tiba ada seorang datang beritahu pada kawannya....

"Hai baliklah engkau.... (ke rumah) mak kau dan meninggal tu..." Jerit orang tu. Member Marwan ni punyalah tegar menjawab....ala.....kejap lagi ....aku nak habiskan sikit gian ni...

Bila dah habis melayan gian... si mamat berdua ni pun pulanglah ke rumah. Marwan menghantar membernya ke rumah.Sesampai disana, mayat ibunya sudah tiada lagi, mana nak adanya, sudah dibawa ke kubur. Menyumpah sakan lah orang sekeliling.. Apa punya bahlul anak...mak meninggal  pun tak balik.... dasar penagih dadah....begitulah kot sumpah seranah maki hamun yang dia terima.

Sedang Marwan mendengar sahaja cemuhan orang itu, tetapi dia mengambill iktibar, macam mana lah agaknya andai kata mak aku sendiri yang meninggal nanti bisiknya. Sejak dari itulah timbul nawaitu ingin berhenti.

Nawaitu ini namanya Turning POint dalam penagihan.Bukan mudah nak dapatkan turning point, tengok tu, yang mak nya meninggal, tak ada pun nak berhenti jadi penagih, malah yang member ni yang dapat hidayah. Dalam bahasa agama, saya menggunakan turning point sebagai HIDAYAH.

Berkata En.Hafney, orang yang betul-betul boleh sembuh dari dunia penagihan ini hanyalah satu dalam seribu.Awas tu...jangan biarkan...suami anda, anak-anak anda, isteri anda dan siapa pun yang anda kenali menjadi penagih dan hamba kepada dadah.
 

No comments:

Post a Comment