Wednesday, September 30, 2015

Erti Rindu bagi sang penagih

Terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan Syabas dan Tahniah atas kesudian anda membantu adik anda. Jikalah bukan anda yang terdetik perasaan ingin membantu, nescaya tiada lagi orang lain yang akan ambil peduli. Sementelahan orang tahu, bahawa "sekali menagih, selamanya akan menjadi penagih" Maafkan saya jika mengguna perkataan menagih.Kerana dari penjelasan anda, istilah ini sudah pun ada pada diri adik anda.Bukti-buktinya cukup.

Namun percayalah, bukan begitu keputusan muktamad Tuhan, masih ada sisa untuk kita berusaha, membantu mereka yang sedang jatuh dalam lubang penagihan. Ya..kerana mereka sedang berada didalam "lubang", dan "lubang" itu sangatlah dalam, maka kitalah (orang yang berada di luar lubang) yang boleh memberi bantuan kepadanya.

Memahami Arti Rindu Seorang Penagih

Saya tinggalkan bab "Bagaimana Seseorang Boleh Terjebak" seketika, seorang Penagih Akan Rindu kepada "benda itu" dengan 3 sebab. Pertama apabila dia bertemu semula lokasi lama bekas dia pernah hinggap disitu. Serta merta kerinduannya datang. Berkata para penagih yang kami temui, kerinduan itu mencapai 7 kali ganda bahkan lebih, dari rindunya seseorang lelaki atau perempuan kepada sang kekasihnya. Kedua... "Benda-benda yang pernah diguna" untuk bermain benda itu. Antaranya sudu, timah, "dapur"  dan sebagainya, inipun menjadikan dia rindu dan ketiga..apabila dia bertemu rakan-rakan lama dalam dunia gelapnya itu.

Ada tambahan lagi yang kami temui dari bekas pengkonsumsi tersebut, katanya nombor-nombor  telefon juga cukup kuat tarikannya dan terakhir ialah bau-bauan yang pernah dia mencium nya. Nombor telefon itu yang pernah dia tekan-tekan untuk mendapatkan barang terlarang.

Inilah masalahnya, kita inginkan dia keluar dari dunia gelap itu, sedangkan dia tenggelam dalam dunia rindu dendamnya.Darul Hanan, AADK, Air Tawar, Jampi, bahkan pengubatan ala zikir tarekat pun masih belum menjamin 100 peratus kesembuhan, walaupun masing-masing mendakwa mereka berjaya mencapai peratusan yang tinggi dalam kesembuhan.Kerana yang ingin disembuhkan tiada jiwa yang kuat untuk sembuh.Mereka ada lintasan hati untuk sembuh, tetapi tiada usaha ke arah itu.Bahkan lebih senang duduk dalam dunianya.

Walau bagaimanapun anda harus terus mencuba, paling tidak dengan doa-doa dan rintihan kepada Tuhan, minta tuhan selamatkan dia di dunia ini, apalagi di akhirat. Malangnya manusia yang tenggelam dalam dunia penagihan, bukan sahaja dia kehilangan keluarga, adik beradik, kerja, anak, isteri, bahkan dia kehilangan TUHAN. Bayangkan jika dia tidur dibawah jambatan Klang selama 3 tahun, siang mencari makan dibelakang-belakang restauran, Mc Donald, KFC dan sebagainya, malamnya pula tidur berlangitkan simen jambatan, bertilam simen yang keras. Dimana tuhan mereka?

Mungkin cerita Pak Cik ini boleh anda jadikan teladan. Umurnya sekitar 58 tahun, saya bertemu disalah satu pusat serenti. Hati ingin tahu, apa pasal dah tua-tua gini masih lagi menagih dan kenapa boleh masuk sini (pusat).

Mulai sekarang Aku mesti berhenti dari menagih

Lalu saya menghampirinya, apa jawabnya? Dia mula bercerita, dia ada isteri dan anak-anak, antaranya sudah berada di sekolah asrama. Ketika musim cuti persekolahan, anaknya pulang ke rumah, sedangkan antara hari-hari yang dia lalui, ada satu hari dirinya sangat sakit, sakit disebabkan datangnya keinginan untuk memasukkan dadah dalam tubuhnya (Gian). Anaknya cukup sedar kesakitan bapanya memang bukan kepalang, dan tiada ubat yang boleh menyembuhkannya kecuali "heroin". Lalu anaknya mengambil wang simpanannya RM50.00 diberikan kepadanya untuk membeli "ubat" itu. Bukan sekali, bahkan beberapa kali,sehingga duit simpanan anaknya berkurang.Kemudian pergi lah sang anak ke sekolahnya.

Satu hari, apabila cuti sekolah kali lainnya, isterinya mendapat telefon dari anak di asrama, dalam perbualan ditanya sang ibu, kenapa kamu tak balik (rumah), inikan cuti? Jawab anak, duit sudah habis mak. Bagaikan hati disantap, dia terkejut, sungguh anaknya telah berkorban dan menyusah diri demi bapanya seorang penagih. Ah... ini tak boleh jadi.. Mulai sekarang Aku mesti berhenti dari menagih.
Lalu dia bertemu bapak saudaranya, meminta tolong supaya dihantar ke mana-mana pusat pemulihan..Aku ingin pulih dah katanya... Apa lagi... berlinangan air mata bapa saudaranya, sambil berkata, aku sudah lama berdoa untukmu... baru kali ini tuhan mengabulnya..

Anda faham kan? Keinginan untuk sembuh boleh datang dari doa orang lain.So, jangan berputus asa. Belajarlah untuk memahami jiwa seorang penagih. Kalau boleh hubungi mereka yang pernah jatuh dalam dunia itu, mungkin anda boleh menghubungi PENDAMAI, minta pendapat dan bantuan untuk mendekati adik anda itu.Merekalah antara insan yang memahami jiwa mereka.

Satu perkara, untuk berhenti dari menagih, seseorang mesti ada "penyebab" kenapa dia perlu berhenti.Jika tiada sebab, selamanya dia akan begitu.

 

No comments:

Post a Comment