Kisah Keempat Bab 2
Kisah daripada kitab Tazkiratul Aulia.
Abu Uthman al-Hairi semasa masih kanak-kanak, beliau pergi ke sekolah ditemani oleh empat orang khadam. Beliau membawa tempat dakwat yang diperbuat daripada emas dan memakai pakaian yang indah-indah.
Di tengah jalan, dilihatnya seekor keldai yang luka belakangnya dan burung-burung mematuk tempat luka itu. Keldai itu hampir-hampir mati. Al-Hairi terus membuka pakaiannya dan membalut luka itu. Keldai itu memandangnya dengan perasaan terima kasih dan bermohon kepada Allah. Serta-merta, rahmat Tuhan melimpahi beliau.
Semasa perjalanan pulang, beliau tidak sedarkan diri. Beliau belajar daripada Muaz. Setelah maju sedikit dalam bidang kesufian, beliau pun meninggalkan harta kekayaan, rumah tangga dan ibu bapanya. Seterusnya, beliau belajar daripada seorang sufi agung pada zamannya, Syeikh Sujah al-Karmani.
Abu Hafsul Haddad sangat terkenal dalam mengawal diri dan tidak pernah marah. Satu hari, ada seorang mengajaknya ke jamuan makan. Apabila al-Hairi datang, beliau pun dihalau dengan kata-kata yang kasar. Kemudian, beliau diajak lagi. Beliau datang, tetapi dihalau lagi. Beliau diajak lagi, beliau pergi, tetapi dihalau pula. Perkara itu berlaku tidak kurang daripada tiga puluh kali, tetapi beliau tidak peduli.
Akhirnya, orang itu menjadi murid beliau dan menghormati beliau. Murid itu bertanya bagaimana beliau dapat menahan sabar sedemikian rupa.
Al-Hairi menjawab, “Sebenarnya, tidak ada yang luar biasa tentang perkara itu. Apa yang saya buat, anjing pun boleh buat. Apabila diajak, dia datang. Apabila dihalau, dia pergi. Ini bukanlah satu tanda kewalian yang besar.”
Satu hari, al-Hairi sedang berjalan. Apabila sampai di sisi sebuah rumah, tanpa sengaja orang rumah itu membuang sebakul abu yang jatuh ke atas kepala beliau. Murid-murid beliau ingin membalas kesalahan itu, tetapi al-Hairi melarang mereka dan beliau terus berdoa, katanya, “Oh, Tuhan, aku ini berdosa dan patut benar api yang bernyala itu menimpa aku. Tetapi Engkau, dengan kasih sayang-Mu, telah menjadikan abu itu sejuk. Aku bersyukur kepada-Mu kerana kasih-Mu itu.”
Satu hari, di tengah jalan, beliau bertemu dengan seorang muda yang sedang mabuk dan memainkan alat muzik. Al-Hairi menangkapnya dan membawa ke rumah. Orang itu dimandikan dan diberi pakaian orang sufi. Kemudian, al-Hairi berdoa, “Aku melakukan apa yang telah terdaya olehku. Aku sekarang, Engkau pulalah yang melakukan sesuatu.”
Tiba-tiba, dengan kurnia Allah, orang itu pun mengalami mabuk Allah dan mencapai taraf kerohanian yang tinggi.
Osman al-Marhibi melihat ketinggian rohaniah orang muda itu lalu berasa kagum kerana dirinya sendiri tidak mencapai taraf seperti itu setelah berlatih selama dua puluh tahun, padahal orang muda itu mencapainya dalam seketika sahaja.
Dengan izin Allah, al-Hairi berkata, “Oleh itu, janganlah bergantung kepada usaha sendiri, tetapi harapkanlah kurniaan Allah dengan hati yang suci.”
Mereka berdua membau mulut orang muda itu dan masih lagi ada bau arak.
Ada orang bertanya kepada al-Hairi, “Tuan, lidahku menyebut Allah, tetapi fikiranku melayang entah ke mana. Apakah yang patut saya buat?”
Al-Hairi menjawab, “Syukurlah kepada Allah kerana dengan kurnia-Nya, anda dapat menyebut nama-Nya. Allah akan mengurniakan pula kepada anggota-anggota yang lain jika kamu bersyukur kepada Allah.”
Al-Hairi berkata:
-
Cinta membuat kita melupakan segala yang lain kecuali yang dicintai.
-
Kebahagiaan di dunia ini merampas kebahagiaan di akhirat.
-
Jangan meminta atau mengharap sesuatu daripada sesiapa pun.
-
Lebih baik membuang keduniaan.