Logo noorhisham.com
noorhisham.com Inspirasi • Ilmu • Pendidikan
Cikgu Noor Hisham
Motivasi

Syarahan yang Ke-32

noorhisham.com 3 dibaca 0 komen
Syarahan yang Ke-32
Tidakkah kamu pernah dengar sabda Nabi Muhammad SAW, apabila Allah kasih kepada hamba-Nya, maka diuji-Nya hamba itu. Jika hamba itu bersabar, maka hamba itu akan dijaganya.

SYARAHAN YANG KE-32

Mungkin kamu selalu berkata, barang siapa sahaja aku kasihi, maka kasihku padanya tidak kekal. Selalu sahaja berpisah, sama ada melalui berjauhan, mati, bermusuhan atau kehilangan harta.

Oleh itu, kamu diberitahu. Sedarkah kamu, wahai orang-orang yang percaya kepada Allah, kepada-Nya diberi kurniaan, kamu dipeliharakan dan dijaga dengan sebaik-baiknya? Tidakkah kamu tahu bahawa Allah itu cemburu? Dia hendakkan kamu untuk Dia sahaja. Mengapa pula kamu hendakkan yang lain daripada Dia? Tidakkah kamu dengar firman-Nya:

Surah al-Ma'idah, ayat 54

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَائِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ ۚ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

 

Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka pun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.

Juga Allah berfirman:

Surah az-Zariyat, ayat 56

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.

Tidakkah kamu pernah dengar sabda Nabi Muhammad SAW, apabila Allah kasih kepada hamba-Nya, maka diuji-Nya hamba itu. Jika hamba itu bersabar, maka hamba itu akan dijaganya.

Baginda ditanya, "Wahai Nabi Allah, apakah yang dijaganya?" Baginda menjawab, "Tidak ditinggalkannya anak dan harta kepada si hamba itu."

Ini ialah disebabkan jika si hamba itu ada anak dan harta, maka kasih si hamba itu akan terbahagi-bahagi dan akan terpecah-pecah.

Kasih yang sepatutnya bulat kepada Allah itu telah terbahagi kepada kasihnya kepada anak dan hartanya. Maka Allah tidak mahu disyarikatkan. Dia cemburu. Allah menguasai segala-galanya. Kerana itu, dihancurkan dan dibinasakan-Nya apa yang menjadi sekutunya itu agar dapat dikuasai-Nya sepenuh-penuhnya hati hamba-Nya itu untuk Dia sahaja dan tidak langsung ada yang lain lagi. Barulah dibuktikan kata-kata Allah, Dia akan kasih kepada mereka dan mereka kasih kepada Dia.

Sehingga hati si hamba itu bebas dan bersih daripada sekutu-sekutu Allah seperti anak, isteri, harta benda, pangkat, kuasa, keramat, keadaan atau peringkat kerohanian, makanan, hal dunia, syurga, kehampiran kepada Tuhan, bahkan apa sahaja selain daripada Dia tidak ada lagi dalam hati itu. Tidak ada nafsu dan tidak ada cita-cita. Kosongkanlah hati itu umpama tong yang penuh berlubang sehingga tidak ada lagi boleh mengandungi sebarang benda atau air.

Hati itu hancur oleh lakuan Allah. Apabila ada sahaja sesuatu tujuan hendak tumbuh dalam hati itu, maka dihancurkan oleh lakuan Allah kerana Ia cemburu. Maka si hamba itu akan dipenuhi dengan kemuliaan, kekuatan, keagungan dan kesempurnaan Ilahi.

Oleh yang demikian, tidak ada apa pun yang dapat menembusi hati seperti itu. Maka harta benda, anak dan isteri, sahabat dan neraka, mukjizat dan keramat, kekuasaan dan pengetahuan tentang masa depan tidak akan dapat mempengaruhi dan merosakkan hati itu. Semua itu tinggal di luar hati, tidak dapat masuk ke dalam. Semua ini adalah tanda kemuliaan, kehormatan, kasih sayang dan rezeki yang diberi Allah kepada hamba-hamba yang benar-benar mahu menuju kepada-Nya. Hamba-hamba seperti ini sentiasa diberi Allah perlindungan, penjagaan, pertolongan dan keredaan dari dunia hingga akhirat.

Perbincangan (0)

Belum ada komen. Jadilah yang pertama berkongsi pandangan!