Abu Muhammad al-Jariri
Abu Muhammad al-Jariri berkata:
Pada suatu pagi, seorang sufi datang menemuiku. Dia duduk di tempatku, kemudian mengambil wuduk. Setelah berwuduk, dia menunaikan solat. Kemudian, dia duduk sambil mengangkat lututnya dan terus bertafakur sehingga tengah hari.
Pada hari itu, khalifah menjemput semua orang sufi menghadiri suatu jamuan. Aku bertanya kepadanya sama ada dia mahu pergi ke jamuan itu atau tidak. Dia menjawab bahawa dia tidak mempunyai sebarang urusan dengan khalifah. Namun, jika aku memberinya sedikit kuih, dia akan memakannya.
Aku tidak memandang tinggi terhadap sufi ini. Oleh itu, aku tidak mempedulikan permintaannya. Aku pun pergi menghadiri jamuan tersebut.
Apabila aku kembali, aku melihat dia masih lagi bertafakur. Aku kemudian pergi tidur. Ketika tidur, aku bermimpi melihat Nabi Musa, Nabi Khalil dan Nabi Muhammad SAW, yang ditemani oleh sepuluh ribu orang wali Allah yang besar. Mereka berdiri tidak jauh di hadapanku, tetapi wajah mereka tidak memandang ke arahku.
Aku bertanya mengapa mereka berbuat demikian. Nabi Muhammad SAW bersabda, “Hal ini kerana kamu tidak memberikan kuih itu kepada hamba Allah tersebut. Oleh sebab itu, kami semua tidak menyukaimu.”
Sebaik sahaja terjaga daripada tidur, aku terus pergi untuk menemui sufi itu. Namun, dia telah meninggalkan rumahku. Aku menjejakinya dan akhirnya berjaya menemuinya.
Aku memintanya pulang ke rumahku dan menerima kuih yang ingin kuberikan kepadanya. Dia terus berkata, “Setelah para nabi dan wali datang dalam mimpimu, barulah tuan hendak memberikan kuih itu kepadaku. Namun, ketika aku memintanya dahulu, tuan tidak memberikannya.”
Selepas berkata demikian, dia pun menghilangkan diri. Sehingga kini, aku tidak pernah bertemu dengannya lagi.
Al-Jariri berkata, “Orang yang sedikit makan mampu melakukan lebih banyak amalan kerohanian.”
