Kisah 5: Abdullah bin al-Jala'
Semasa masih kanak-kanak lagi, Ibnu al-Jala' meminta ibu bapanya membersihkan dirinya dan menyerahkannya kepada Allah. Mereka pun berbuat demikian.
Beliau pergi meninggalkan rumahnya dan mengembara mencari jalan kesufian bertahun-tahun lamanya. Kemudian, beliau kembali ke rumahnya. Setelah sampai di pintu rumah, beliau pun meminta ibu bapanya membuka pintu. Tetapi ibu bapanya berkata bahawa mereka telah menyerahkannya kepada Allah. Maka, dengan itu, kembalilah kepada Allah pula.
Al-Jala' berkata, “Satu ketika, saya telah memandang seorang Yahudi yang cantik. Akibatnya, saya telah dihukum dengan melupakan al-Quran. Setelah betul-betul bertaubat, barulah saya dapat mengingati al-Quran itu semula.”
Ibnu al-Jala' berkata:
-
Mencari makan menyebabkan kita lupa kepada Tuhan. Dengan itu juga, menjadikan kita sebagai pengemis yang meminta-minta kepada makhluk.
-
Apabila ditanya maksud fakir, beliau keluar dari rumahnya dan membuang wang yang ada dalam sakunya. Lalu, beliau menjawab, “Seseorang itu bukan fakir jika dia mempunyai wang dalam sakunya.”
Ibnu al-Jala' berkata, “Semenjak empat belas tahun lalu, jadi niat saya untuk mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam sehari. Tetapi sekarang, meskipun empat belas tahun telah berlalu, saya belum pun habis membaca separuh daripadanya. Sebabnya ialah dahulu saya tidak membacanya dengan penuh kesedaran dan kebijaksanaan.”