Logo noorhisham.com
noorhisham.com Inspirasi • Ilmu • Pendidikan
Log Masuk
Cikgu Noor Hisham
Motivasi

Mansur al-Hallaj

noorhisham.com 4 dibaca 0 komen
Mansur al-Hallaj
“Alangkah sedihnya nasib seorang sufi yang agung apabila dia berkata, ‘Ana al-Haqq’ (Akulah Kebenaran), tetapi seorang manusia yang mengucapkan kata-kata itu akhirnya disalib pula.”

Mansur al-Hallaj

Fariduddin al-Attar memulakan ceritanya tentang seorang sufi agung ini dengan ulasannya seperti berikut:

“Alangkah sedihnya nasib seorang sufi yang agung apabila dia berkata, ‘Ana al-Haqq’ (Akulah Kebenaran), tetapi seorang manusia yang mengucapkan kata-kata itu akhirnya disalib pula.”

Anda patut mengetahui bahawa perkataan seperti itu pernah diucapkan oleh orang-orang sufi yang agung ketika mereka berada dalam keadaan mabuk kerohanian kepada Allah atau fana, iaitu keadaan seseorang yang melupakan dirinya kerana terlalu tenggelam dalam mengingati Allah. Mereka mengucapkan kata-kata sedemikian seolah-olah melalui Allah, atau dengan kata lain, Allah yang berbicara melalui lidah mereka kerana diri mereka sendiri telah lenyap dalam penghayatan kerohanian tersebut.

Al-Syibli berkata bahawa meskipun beliau sendiri dan Ibn al-Mansur pernah mengeluarkan kata-kata yang sama, beliau dibiarkan begitu sahaja kerana orang menyangkanya gila. Namun, Ibn al-Mansur disalib kerana orang menganggapnya bukan sahaja waras, malah bijaksana.

Ibn al-Mansur tinggal di sebuah tempat bernama Tustar ketika berumur 16 tahun dan menetap di situ selama dua tahun. Kemudian, beliau pergi ke sebuah tempat lain yang tidak dinyatakan namanya, lalu tinggal di situ selama satu tahun setengah.

Di tempat itu, beliau tinggal bersama seorang lagi sufi agung bernama Amru bin Uthman al-Makki. Di situ juga, beliau berkahwin dengan anak perempuan Yaakub al-Aqta'.

Kemudian, beliau pergi ke Baghdad untuk tinggal bersama Junaid. Dari Baghdad, beliau berangkat ke Hijaz. Di sana, beliau bertemu dengan sekumpulan orang sufi dan bersama-sama mereka kembali ke Baghdad untuk menemui Junaid.

Beliau bertanya sesuatu kepada Junaid. Junaid kemudian meramalkan dengan berkata, “Pada suatu hari nanti, tuan akan mewarnai palang kayu dengan warna merah.”

Kata-kata itu membawa maksud bahawa Ibn al-Mansur akan disalib.

Mendengar ramalan tersebut, Ibn al-Mansur berkata, “Apabila perkara itu berlaku, tuan akan memakai pakaian orang biasa dan meninggalkan pakaian sufi.”

Ramalan itu benar-benar menjadi kenyataan. Beberapa lama kemudian, semua guru agama enggan menandatangani surat hukuman bunuh terhadap Ibn al-Mansur sehinggalah Junaid terlebih dahulu menandatanganinya.

Junaid akhirnya turut menandatangani surat tersebut setelah khalifah memerintahkannya berbuat demikian. Beliau meninggalkan pakaian sufi dan memakai pakaian seorang guru agama biasa, lalu menandatangani surat hukuman itu dengan menulis perkataan berikut:

“Saya menyatakan pendapat saya tentang zahir Ibn al-Mansur bahawa dia patut disalib.”

Apabila Junaid tidak menjawab soalan Ibn al-Mansur, malah memarahinya, Ibn al-Mansur pergi ke Tustar bersama isterinya lalu tinggal di sana selama setahun. Penduduk tempat itu menghormati beliau.

Di sana, beliau sering mengkritik orang yang berpura-pura beragama. Mereka berasa sangat marah terhadap Ibn al-Mansur. Golongan yang menentang beliau pula mendapat sokongan daripada Amru bin Uthman, seorang tokoh agama yang masyhur.

Ibn al-Mansur tidak tahan lagi mendengar kritikan mereka. Beliau pun menanggalkan pakaian sufi dan memakai pakaian orang biasa.

Pada masa itu, beliau telah mencapai kemajuan yang sangat tinggi dalam bidang kerohanian. Keadaan kerohanian yang tinggi ini menguasai dirinya selama lima tahun. Beliau mengembara ke Tustar, Sultan dan Namruz.

Tulisan beliau sangat bernilai, manakala syarahannya penuh dengan kata-kata yang bernas. Beliau digelar Guru Ilmu Rahsia.

Kemudian, Ibn al-Mansur pergi ke Basrah dan memakai pakaian sufi semula. Beliau pergi ke Mekah dan orang ramai menggelarnya tukang sihir.

Selepas itu, beliau kembali ke Pasaran, kemudian pergi ke negeri China melalui India. Sekembalinya dari sana, beliau pergi ke Mekah buat kali kedua.

Satu perubahan besar berlaku pada dirinya. Kata-katanya dipenuhi dengan hal-hal kebatinan dan kerohanian yang tinggi sehingga hanya beberapa orang sahaja yang dapat memahami maksudnya.

Beliau sering diusir dari tempat-tempat yang dilawatinya dan dicerca oleh orang ramai.

Kisah Mansur al-Hallaj (Sambungan)

Dalam keadaan pengaruh kerohanian yang memuncak itu, Ibn al-Mansur pernah memakai jubah yang sama selama 20 tahun penuh. Pada suatu hari, seseorang memaksa beliau menanggalkan jubah tersebut. Mereka terperanjat apabila mendapati seekor kala jengking telah bersarang di dalam jubah itu.

Mereka hendak membunuh kala jengking tersebut, tetapi Ibn al-Mansur meminta mereka menggantikannya dengan seekor kala jengking yang lain. Hal ini demikian kerana, menurut beliau, kala jengking itu telah menjadi temannya sejak 20 tahun yang lalu.

Pada suatu ketika, seramai empat ribu orang mengiringi beliau menunaikan ibadah haji ke Mekah. Di sana, beliau berdiri tanpa kasut dan tanpa penutup kepala selama setahun di satu tempat sahaja.

Ada orang datang membawa sebuku roti dan segelas air untuknya, tetapi beliau jarang-jarang makan. Badannya semakin kurus, dagingnya mengering dan kulitnya merekah.

Seekor kala jengking telah bersarang di dalam jubahnya.

Dalam doanya, beliau berkata:

“Wahai Tuhanku, Engkaulah satu-satunya pembimbing bagi mereka yang melalui lembah yang membingungkan. Jika aku ini bukan seorang pembidaah, maka luaskanlah bidaahku itu.”

Apabila bersendirian, beliau berdoa lagi:

“Aku hanya mengenali-Mu, menyembah-Mu dan bersyukur atas segala kurniaan-Mu. Aku hanyalah hamba-Mu. Kurniaan-Mu terlalu banyak sehingga lidahku yang satu ini tidak mampu mengucapkan rasa syukur kepada-Mu. Oleh itu, sungguh besar rasa syukurku kepada-Mu.”

Pada suatu hari, Ibn al-Mansur bertemu dengan Khawwas, seorang sufi agung, di dalam hutan. Beliau bertanya kepada Khawwas tentang apa yang dilakukannya di situ.

Khawwas menjawab, “Aku sedang berusaha untuk bertawakal dan reda terhadap segala yang dilakukan oleh Allah terhadap diriku, sama ada aku diberi makan ataupun tidak.”

Ibn al-Mansur menjawab, “Berapa lama lagi tuan hendak membuang masa memikirkan hal-hal berkaitan perut? Bilakah tuan akan memfanakan diri dalam tauhid?”

Apabila orang ramai datang melawat beliau di penjara pada malam pertama, mereka tidak melihatnya di dalam bilik tersebut. Beliau telah ghaib.

Pada malam kedua, mereka datang melawatnya lagi. Kali ini, mereka melihat beliau berada di situ, tetapi bangunan penjara itu pula tidak kelihatan.

Pada malam ketiga, mereka melihat beliau duduk di dalam penjara seperti biasa.

Mereka bertanya kepadanya, “Mengapakah perkara yang ganjil ini berlaku?”

Beliau menjawab, “Pada malam pertama, aku berada di hadirat Tuhan. Pada malam kedua, aku dilawati oleh Allah. Kini, aku dibawa kembali ke sini.”

Beliau kemudian menjelaskan bahawa seseorang yang masih sedar akan dirinya melalui pancaindera tidak sepatutnya mengucapkan Ana al-Haqq (Akulah Kebenaran), kerana selagi seseorang itu masih melihat dirinya sebagai manusia yang terpisah daripada Tuhan, dia bukanlah Tuhan. Jika dia mengucapkan perkataan itu dalam keadaan sedemikian, maka ucapan tersebut dianggap palsu dan bidaah semata-mata.

Banduan Bebas

Ibn al-Mansur biasanya memohon ampun kepada Allah sebanyak seribu kali setiap hari selepas menunaikan solat.

Apabila ditanya, “Jika tuan sendiri telah menjadi al-Haqq (Kebenaran), kepada siapakah tuan memohon ampun?”

Beliau menjawab, “Aku lebih mengetahui keadaan diriku yang sebenarnya.”

Pada suatu ketika, terdapat seramai 300 orang banduan di dalam penjara tempat Ibn al-Mansur dipenjarakan. Beliau bertanya kepada mereka sama ada mereka mahu dibebaskan daripada penjara itu.

Mereka menjawab, “Sudah tentu kami mahu dibebaskan!”

Kemudian, beliau membuat suatu isyarat. Tiba-tiba, belenggu yang mengikat mereka terlucut dan pintu penjara pun terbuka.

Mereka meminta Ibn al-Mansur keluar bersama-sama mereka, tetapi beliau menjawab, “Aku mempunyai suatu rahsia dengan Allah. Rahsia itu akan dipersoalkan apabila aku dibawa ke tempat hukuman. Aku ialah seorang banduan yang menjadi tawanan tuanku, dan aku mestilah menghormati ketetapan-Nya.”

Pada keesokan harinya, orang ramai mendapati semua kunci penjara telah pecah dan pintunya terbuka. Semua banduan telah melarikan diri.

Mereka bertanya kepada Ibn al-Mansur, “Apakah yang telah berlaku?”

Ibn al-Mansur pun menceritakan segala yang telah terjadi.

Mereka kemudian bertanya, “Mengapakah tuan tidak turut melarikan diri?”

Beliau menjawab, “Tuanku murka terhadapku dan telah menjatuhkan hukuman ke atasku. Itulah sebabnya aku masih berada di sini.”

Apabila khalifah mendengar peristiwa itu, beliau memerintahkan supaya Ibn al-Mansur dibunuh dengan segera agar perkara yang tidak diingini tidak berlaku lagi.

Ibn al-Mansur pun disebat sebanyak 300 kali. Setiap kali sebatan dikenakan, terdengarlah suara yang berkata, “Wahai Ibn al-Mansur, jangan takut. Bersabarlah menghadapi hukuman itu.”

Seramai 100,000 orang menyaksikan hukuman tersebut. Ibn al-Mansur memandang ke sekeliling sambil berkata, “Haqq! Haqq! Ana al-Haqq!” yang bermaksud, “Kebenaran! Kebenaran! Akulah Kebenaran!”

Pada masa yang kritikal itu, seorang sufi bertanya, “Apakah erti cinta?”

Beliau menjawab, “Kamu akan mengetahui perkara itu pada hari ini, esok dan lusa.”

Pada hari itu, beliau disalib. Keesokan harinya, mayatnya dibakar sehingga menjadi abu. Pada hari ketiga, abu itu ditiup angin. Itulah yang dimaksudkan oleh Abu Mansur tentang cinta.

Ketika Abu Mansur disalib, khadamnya bertanya tentang pesanan terakhir beliau. Ibnu Mansur menjawab, “Jangan tunduk kepada nafsumu. Jika kamu tunduk kepadanya, nafsu itu akan mempengaruhi kamu supaya melakukan dosa dan maksiat.”

Anak lelaki beliau pula meminta nasihat daripadanya. Beliau berkata, “Dunia ini menuntut kehidupan yang berakhlak, tetapi kamu carilah kehidupan ketuhanan kerana itu lebih baik. Walaupun sedikit kehidupan ketuhanan yang kamu peroleh, hal itu lebih baik daripada segala amalan kebaikan yang dilakukan oleh manusia dan malaikat.”

Sebelum beliau dibawa ke tempat hukuman, beliau hanya tersenyum. Apabila ditanya mengapa beliau tersenyum, beliau menjawab, “Inilah masanya untuk bergembira kerana aku akan pulang kepada-Nya.”

Kemudian, beliau berkata lagi, “Sahabatku, bukanlah suatu kezaliman apabila diberikan kepadaku arak itu untuk diminum, sebagaimana tuan rumah memberikan minuman kepada tetamunya.”

Setelah arak itu diminum, pembawa pedang dipanggil untuk menghukum orang yang meminum arak yang telah lama tersimpan itu, sedangkan mereka berada dalam bulan haram.

Kemudian, Abu Mansur mencium tangga menuju ke tempat hukuman itu. Beliau berpaling menghadap kiblat lalu berkata, “Engkau telah mengurniakan kepadaku apa yang aku cari.”

Ibnu Mansur berkata lagi, “Ketika aku masih muda dahulu, aku memandang seorang gadis dengan penuh nafsu. Oleh sebab itu, aku dihukum. Ingatlah, janganlah kamu melakukan kesilapan yang sama sehingga kamu turut menderita akibat azabnya.”

Asy-Syibli bertanya kepada beliau, “Apakah erti tasawuf?”

Ibnu Mansur menjawab, “Apa yang tuan saksikan sekarang ini, itulah tasawuf. Inilah peringkat yang paling rendah.”

Asy-Syibli bertanya lagi, “Apakah peringkat yang paling tinggi?”

Ibnu Mansur menjawab, “Tuan belum lagi layak untuk mengetahuinya.”

Kemudian, khalifah memerintahkan supaya Ibnu Mansur dilempari batu oleh orang ramai yang berada di situ. Beliau menahan segala kesakitan itu. Namun, khalifah kemudiannya memerintahkan supaya Asy-Syibli melemparinya dengan bunga.

Ibnu Mansur menangis. Apabila ditanya mengapa beliau menangis apabila menerima bunga, beliau menjawab, “Orang yang melontar aku dengan batu itu jahil. Oleh itu, aku tidak mempedulikannya. Tetapi, apabila Asy-Syibli melontarku dengan bunga, dia tidak boleh dimaafkan kerana dia seorang yang berilmu.”

Selepas itu, tangan Ibnu Mansur dipotong. Beliau tersenyum. Apabila ditanya mengapa beliau tersenyum, beliau menjawab, “Mereka telah memotong tangan zahirku, tetapi tangan batinku tetap berpegang teguh kepada Allah. Mereka tidak dapat memotong tangan batinku itu.”

Kemudian, kakinya pula dipotong. Beliau berkata, “Kaki batinku tidak dapat dipotong. Dengan kaki itulah aku dapat mengembara di dalam dua alam.”

Ibnu Mansur menyapu mukanya dengan tangan yang telah terpotong dan berdarah itu, lalu berkata, “Hari ini aku berasa gembira kerana wajahku telah disapu dengan darah orang-orang yang syahid.”

Kisah Abu Mansur al-Hallaj (Bahagian Akhir)

Kemudian, beliau membuat isyarat seolah-olah sedang menunaikan solat. Selepas itu, matanya dicungkil, lidahnya dipotong dan akhirnya kepalanya dipenggal.

Sebelum lidah dan kepalanya dipotong, beliau berdoa, “Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah memberiku ketahanan dan kesabaran sehingga nyawaku bercerai daripada badan. Aku berharap agar Engkau turut mengurniakan kesabaran kepada orang-orang yang menghukumku dan kepada semua hadirin yang menyaksikan peristiwa ini.”

Apabila orang ramai mendengar kata-kata itu, mereka mula melontarnya dengan batu.

Beliau terus berkata, “Bersahabat dengan Yang Esa menjadikan kamu terasing daripada yang lain dan membuatkan kamu berbeza daripada mereka.”

Ketika kepalanya dipenggal, beliau ketawa. Kemudian, nyawanya pun bercerai daripada badannya.

Diceritakan bahawa semua anggota tubuhnya yang telah dipotong itu menjerit, “Ana al-Haqq!”

Khalifah memerintahkan supaya anggota tubuh Ibnu Mansur yang telah dipotong itu dikumpulkan dan dibakar. Abu pembakarannya turut menjerit. Demikian juga apabila abu itu dibuang ke dalam sungai, abu tersebut dikatakan membentuk tulisan “Ana al-Haqq”.

Air sungai itu kemudian berubah dan naik sehingga melimpah.

Namun begitu, semasa Ibnu Mansur masih hidup, sebelum beliau dihukum bunuh, beliau dikatakan telah mengetahui bahawa sungai itu akan melimpah. Beliau telah berpesan kepada khadamnya supaya meletakkan pakaiannya di atas permukaan sungai. Dengan cara itu, air sungai akan surut dan bandar Baghdad dapat diselamatkan daripada banjir.

Khadamnya pun meletakkan pakaian Ibnu Mansur di atas permukaan air sungai tersebut. Tidak lama kemudian, air sungai itu pun surut.

Abu yang berada di tebing sungai itu kemudiannya dikuburkan.

Berkenaan dengan kematian Ibnu Mansur, seorang sufi besar bernama Abbas al-Tusi berkata, “Pada hari kiamat nanti, mereka akan membawa Ibnu Mansur dalam keadaan terikat dengan belenggu. Jika dia tidak diikat, nescaya dia akan membalikkan bumi ini dalam keadaan terbalik.”

Pada hari kematian Ibnu Mansur, seorang wali Allah dikatakan duduk semalaman di bawah tempat beliau dihukum. Wali Allah itu terdengar satu suara berkata, “Kami telah mengurniakan kepada Ibnu Mansur salah satu daripada rahsia-rahsia Kami. Namun, dia telah menceritakannya kepada orang ramai. Oleh sebab itu, Kami menghukumnya kerana dia telah membongkar rahsia Kami.”

Tamatlah kisah Abu Mansur al-Hallaj.

#Kisah ke-14:

Perbincangan (0)

Belum ada komen. Jadilah yang pertama berkongsi pandangan!