Kisah al-Muhibb
Al-Muhibb kembali dari Mekah. Penduduk sebuah tempat meminta beliau memberikan syarahan. Syarahan itu tidak membawa kesan kepada mereka.
Kemudian, beliau bersyarah kepada lilin. Semua lilin-lilin itu menari dalam keadaan mabuk Allah, menghantuk antara satu dengan yang lain dan akhirnya semuanya binasa. Beliau memuji lilin-lilin itu kerana lebih baik daripada manusia.
Satu hari, al-Muhibb sedang memberikan syarahan apabila seekor burung jatuh dari udara dan menimpa kepala beliau. Burung itu jatuh ke ribanya, kemudian ke tapak tangannya dan akhirnya jatuh ke tanah. Darah keluar daripada burung itu dan akhirnya burung itu mati.
Beliau berkata, “Berfikirlah kepada apa yang dicintai. Mati pun dalam apa yang dicintai itu juga.”
Menurut hukum-hukum agama, al-Muhibb berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan. Beliau sangat mengasihi anaknya.
Satu malam, dalam mimpi, beliau melihat manusia berkumpul di bawah satu panji-panji pada hari kiamat. Dalam kumpulan itu, ada juga malaikat. Apabila beliau hendak pergi menuju panji-panji itu, malaikat menghalau beliau sambil berkata bahawa tempat itu dikhaskan untuk kekasih-kekasih Allah.
Al-Muhibb berkata, “Orang memanggil saya al-Muhibb, yakni kekasih. Itu tentulah nama yang dikurniakan Allah. Jika tidak, orang tidak akan memanggil saya demikian.”
Malaikat itu berkata, “Betul. Dahulunya tuan ialah kekasih Allah, tetapi semenjak tuan memulakan cinta kepada anak tuan berserta dengan cinta kepada Allah, kemuliaan itu telah diambil kembali daripada tuan.”
Al-Muhibb berdoa, “Oleh kerana cinta kepada anak itu telah menyelewengkan aku daripada-Mu, biarkanlah dia mati.”
Anak itu pun jatuh dari atas rumahnya. Beliau melihat anaknya telah meninggal dunia, lalu bersyukur kepada Allah.