Berpuas hatilah kamu dengan apa yang ada padamu sehingga datang takdir Allah untuk meninggikan taraf kamu. Di sanalah kamu akan diberi keselamatan daripada kesusahan hidup di dunia dan di akhirat, serta daripada noda dan dosa, lalu dinaikkan ke peringkat yang lebih tinggi hingga kamu puas dan bahagia. Apa yang telah diuntukkan kepada kamu pasti kamu dapat, dan apa yang tidak diuntukkan kepada kamu pasti tidak kamu dapat.
Oleh itu, sentiasalah bersabar dan reda dengan keadaan yang ada pada kamu. Janganlah hendak memandai-mandai sendiri dan menurut kehendak sendiri, melainkan setelah kamu diperintahkan.
Jangan bergerak sendiri dan jangan berdiam sendiri menurut kemahuan kamu sahaja, kerana hal ini akan menghinakan kedudukan kamu dan menzalimi diri kamu sendiri. Tuhan tidak lupa kepada orang yang zalim. Firman Allah Ta'ala:
"Wa kadzalika nuwalli ba'dhaz-zhalimina ba'dhan bima kanu yaksibun." (Surah Al-An'am: 129)
Maksudnya: "Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan."
Ketahuilah bahawa kamu berada di dalam istana Raja Yang Maha Berkuasa dan Maha Agung; yang tentera-Nya tidak terhingga, yang perintah-Nya tidak boleh disanggah, yang kerajaan-Nya tidak boleh diganggu gugat, yang berkekalan dan abadi selama-lamanya, serta yang ilmu-Nya meliputi segala sesuatu, bahkan dapat melihat apa yang terdetik di hati sanubari. Kamu akan menzalimi diri kamu sendiri sekiranya kamu digerakkan oleh hawa nafsu kebinatangan, berbuat sesuka hati sendiri, dan melakukan sesuatu yang menyekutukan Allah.
Firman Allah Ta'ala:
"Innallaha la yaghfiru an yusyraka bihi wa yaghfiru ma duna dzalika liman yasya', wa man yusyrik billahi faqad dhalla dhalalan ba'ida." (Surah An-Nisa': 116)
Maksudnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengampuni dosa mempersekutukan-Nya (syirik), dan Dia mengampuni dosa yang selain daripada syirik itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat dengan sejauh-jauhnya."
Jauhkan diri daripada syirik dan jangan mendekati syirik. Segala gerak dan diam kamu pada siang dan malam, sama ada berseorangan atau di tempat ramai, hendaklah bebas daripada syirik. Berhati-hatilah daripada dosa dalam apa juga bentuknya, sama ada di dalam hati mahupun pada anggota badan kamu; jauhkanlah dosa batin dan dosa zahir. Janganlah kamu lari daripada Tuhan kerana kamu tidak akan dapat melarikan diri kamu daripada-Nya. Janganlah kamu melawan-Nya kerana kamu juga akan dibinasakan oleh-Nya.
Janganlah kamu merungut terhadap perintah-Nya kerana jika kamu berbuat demikian, kamu akan dihinakan-Nya. Janganlah kamu lupa kepada-Nya kerana jika kamu berbuat demikian, kamu akan dilupakan-Nya dan dicampakkan-Nya kamu ke dalam kesusahan.
Jangan kamu cuba meminda-minda hukum-Nya kerana jika kamu berbuat demikian, kamu akan dibinasakan-Nya. Janganlah kamu bercakap tentang agama-Nya menurut hawa nafsu kamu semata-mata kerana jika kamu berbuat demikian, kamu akan hancur lebur, hati kamu digelapkan, iman kamu akan dicabut-Nya, dan ilmu kebatinan kamu itu akan hilang. Maka diberinya kuasa kepada syaitan, nafsu kebinatangan kamu, keluarga kamu, jiran kamu, sahabat dan rakan kamu, jin, binatang, serta segala makhluk-Nya untuk menguasai dan mempengaruhi kamu. Dengan itu, kamu hidup di dalam dunia ini dalam kegelapan, dan azab neraka akan kamu terima di akhirat kelak.