Syarahan yang Ke-25
Orang-orang yang miskin harta benda mereka, yang dijauhi oleh dunia dan orang-orang yang tidak terkenal, yang lapar dan dahaga, yang tidak berpakaian sempurna, yang hatinya hancur, yang mengembara dari satu masjid ke satu masjid dan tempat-tempat yang suci, yang dibenci oleh orang, dan terhindar daripada apa-apa yang diciptakan-Nya—maka kamu yang demikian ini janganlah menyangka bahawa Allah itu telah menjadikan kamu miskin papa, mencabut dunia ini daripada kamu, menjahanamkan kamu, memusuhi kamu, dan menghinakan kamu. Padahal kamu, keluarga, dan saudara-mara kamu dilebihi oleh Allah daripada kesenangan dan kekayaan dunia ini. Janganlah kamu sangka Tuhan itu murka kerana kamu, keluarga, dan saudara-mara kamu itu adalah orang Islam dan beriman juga, dan keturunan kamu dan dia adalah daripada Adam dan Hawa jua.
Allah menjadikan kamu demikian ini ialah kerana kamu seorang yang suci dan rahmat Allah melimpahi kamu tidak berhenti-henti—yang berupa kesabaran, tawakal, iman, dan reda—serta ilmu, cahaya iman, dan tauhid akan melimpahi hati kamu. Maka tumbuhlah pokok keimanan itu dalam diri kamu dengan suburnya dan penuh dengan buah-buah yang ranum serta lazat cita rasanya. Pokok itu makin bertambah besar, tinggi, dan rendang daunnya tanpa diberi baja lagi. Apa yang telah ditentukan untuk kamu pasti kamu akan terima sama ada kamu suka atau tidak. Oleh itu, janganlah tamak dan terburu-buru menurut nafsu, serta janganlah sedih kerana kamu tidak dapat apa yang orang lain dapat.
Apa yang tidak ada dalam kepunyaan kamu itu adalah daripada dua jenis: yang pertama, sama ada untuk kamu; atau yang kedua, kepunyaan orang lain. Apa yang telah ditetapkan untuk kamu akan datang kepada kamu dan kamu akan dibawa untuk mendapatkannya, dan kamu pasti akan dapat tidak lama lagi. Apa yang bukan untuk kamu, maka kamu akan dijauhkan daripadanya dan benda itu pun dijauhkan daripada kamu, dan kamu pasti tidak bertemu dengan benda itu. Oleh itu, berpuas hatilah dengan yang ada dalam kepunyaan kamu dan patuhlah kepada Allah. Janganlah pandang yang lain daripada Dia sahaja. Firman Allah Ta'ala:
"Wa la tamuddanna 'ainaika ila ma matta'na bihi azwajan minhum zahratal hayatid-dunya li naftinahum fih, wa rizqu rabbika khairun wa abqa." (Surah Taha: 131)
Maksudnya: "Dan janganlah kamu tujukan kedua matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan daripada mereka sebagai bunga-bunga kehidupan dunia ini untuk Kami uji mereka dengannya; dan kurnia Tuhan kamu adalah lebih baik dan lebih kekal."
Oleh yang demikian, Allah tidak suka kamu berasa tamak dan hendakkan kepunyaan orang lain. Sebaliknya, hendaklah kamu puas hati dan rela dengan apa yang ada dalam kepunyaan kamu, dan kamu hendaklah menyerahkan diri kamu kepada Allah dengan patuh. Apa yang lain daripada kepunyaan kamu itu adalah satu ujian yang dengan itu orang lain diuji. Apa yang ada dalam lingkungan kepunyaan kamu itu adalah lebih baik dan lebih bersih daripada apa yang bukan dalam milik kamu. Jadikanlah ini jalan hidup dan kelakuan kamu agar kamu selamat dan diberi kebahagiaan dari dunia hingga akhirat. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala:
"Fa la ta'lamu nafsum ma ukhfiya lahum min qurrati a'yun, jaza'an bima kanu ya'malun." (Surah As-Sajdah: 17)
Maksudnya: "Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu bermacam-macam nikmat yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan."
Demikianlah yang sebaiknya, tidak perlu melebih-lebih daripada lima cara penyembahan dan mengelakkan segala dosa yang tersebut itu. Tidak ada yang lebih besar, lebih mulia, disukai, dan diredai Allah daripada apa yang telah Kami sebutkan itu. Moga-moga Allah memberi kita sekalian daya upaya untuk melakukan apa yang diredai-Nya dan disukai-Nya dengan kurnia Allah jua.