Logo noorhisham.com
noorhisham.com Inspirasi • Ilmu • Pendidikan
Cikgu Noor Hisham
ARTIKEL

Syarahan yang Ke-26

noorhisham.com 1 dibaca 0 komen
Syarahan yang Ke-26

Syarahan yang Ke-26

Hijab atau tabir yang melindungi kamu itu tidak akan terbuka sekiranya kamu tidak keluar daripada makhluk dan membebaskan hati kamu daripada makhluk dalam semua keadaan dan kedudukan hidup. Hijab itu juga tidak akan terbuka sekiranya hawa nafsu kamu tidak hancur lebur, dan begitu juga tujuan serta kerinduan kamu kepada makhluk, kepada dunia, dan kepada akhirat. Kamu hendaklah menjadi seperti bekas yang berlubang di mana tidak ada air yang tinggal di dalamnya; hati kamu hendaklah kosong daripada yang lain dan dipenuhi oleh Allah semata-mata. Maka kamu akan menjadi penjaga pintu hati kamu, dan kamu diberi pedang tauhid serta kekuatan dan kekuasaan. Apa sahaja selain Allah yang hendak merempuh masuk ke dalam hati kamu itu, maka hendaklah kamu penggal lehernya dengan pedang tauhid agar tidak ada lagi diri kamu, nafsu kamu, dan kerinduan kamu kepada dunia dan akhirat—hanya Allah sahaja yang bersemayam dalam hati kamu itu. Maka jadilah kamu hamba Allah yang sejati, dan bukan hamba kepada manusia, atau pendapat mereka, atau perintah mereka, atau apa sahaja selain Allah.

Apabila keadaan ini telah menjadi berkekalan dalam diri kamu dalam hidup ini, maka tabir kehormatan akan digantung di sekeliling hati kamu, parit kemuliaan akan digali di sekelilingnya, kuasa keagungan akan mengelilingi, dan hati kamu akan dikawal oleh tentera hak dan tauhid. Di samping itu, pengawal-pengawal akan ditempatkan berdekatan dengannya. Maka dengan itu, syaitan, hawa nafsu kebinatangan, pengaruh manusia yang meruntuhkan angan-angan kosong, dan apa sahaja yang merosakkan kamu tidak akan dapat menawan kamu dan menembusi masuk ke dalam hati kamu yang terkawal rapi itu.

Jika ditakdirkan manusia datang tidak berhenti-henti kepada kamu kerana hendak mengunjungi kamu yang telah diberi kemuliaan oleh Allah agar mereka juga diberi cahaya, tanda-tanda yang terang, ilmu yang mendalam, serta melihat kehormatan dan perkara luar biasa daripada kamu—yang dengan itu menguatkan usaha mereka untuk menghampiri Allah dan patuh kepada-Nya—maka semua ini tidak akan menggoncangkan kamu dan tidak akan mempengaruhi kamu kepada perasaan megah dan bangga, kehendak dan nafsu yang merosakkan kamu sendiri, serta daripada kesombongan, ujub, dan riak sebagainya. Namun, kamu tetap bersama Allah dan merendah diri kepada-Nya.

Sekiranya kamu diberi Allah seorang isteri yang cantik molek, namun itu pun tidak dapat menggoncangkan iman kamu, dan kamu akan terselamat daripada kejahatannya serta diselamatkan daripada memikul bebanan daripadanya atau saudara-maranya. Isteri itu adalah kurniaan Allah kepada kamu; Allah akan memelihara isteri kamu itu daripada kerosakan akhlak, tidak amanah, berbuat kejahatan, dan menyeleweng daripada jalan yang lurus. Dia tertakluk kepada kamu; dia dan saudara-maranya akan membebaskan kamu daripada beban nafkahnya dan menjauhkan daripada kamu sebarang kesusahan kerananya. Sekiranya dia melahirkan anak untuk kamu, maka anak itu akan menjadi anak yang soleh dan bersih serta menyejukkan mata kamu. Firman Allah Ta'ala:

"Fastajabna lahu wa wahabna lahu Yahya wa aslahna lahu zaujah, innahum kanu yusari'una fil khairati wa yad'unana raghabaw wa rahaba, wa kanu lana khasyi'in." (Surah Al-Anbiya': 90)

Maksudnya: "Maka Kami memperkenankan doanya dan Kami anugerahkan kepadanya Yahya, dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam mengerjakan perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan penuh harap dan cemas, dan mereka adalah orang-orang yang khusyuk kepada Kami."

Allah Subhanahu Wa Ta'ala juga berfirman:

"Wallazina yaquluna rabbana hablana min azwajina wa dzurriyyatina qurrata a'yuniw waj'alna lil muttaqina imama." (Surah Al-Furqan: 74)

Maksudnya: "Dan orang-orang yang berkata, 'Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.'"

Juga firman Allah Ta'ala:

"Yaritsuni wa yaritsu min 'ali Ya'qub, waj'alhu rabbi radhiyyan." (Surah Maryam: 6)

Maksudnya: "[Iaitu] yang akan mewarisi aku dan mewarisi sebahagian daripada keluarga Ya'akub; dan jadikanlah ia, ya Tuhanku, seorang yang diredai."

Semua permintaan atau doa dalam ayat-ayat tersebut akan berlaku dan akan diterima bagi kamu, sama ada kamu tujukan permintaan itu secara khusus kepada Allah ataupun tidak. Hal ini kerana doa-doa itu adalah untuk orang yang layak sahaja, iaitu mereka yang layak menerima kurniaan-Nya dan yang hampir dengan-Nya.

Sekiranya hal-hal keduniaan datang kepada kamu, namun kamu tidak dibahayakan olehnya. Apa yang telah diuntukkan untuk kamu akan dapat kamu rasai dengan keadaan bersih, dengan kehendak dan lakuan Allah. Tetapi, hendaklah kamu patuh kepada-Nya, seperti melakukan sembahyang lima waktu dan puasa bulan Ramadan. Kamu diperintahkan supaya membelanjakan apa yang bukan bahagian kamu dan rezeki kamu itu kepada sahabat kamu, jiran kamu, orang-orang yang meminta sedekah, dan orang-orang yang patut menerima wang zakat menurut keperluan sesuatu keadaan. Keadaan yang sebenarnya akan dibuka kepada kamu, dan dapatlah kamu membezakan mana yang patut diberi dan mana yang tidak patut diberi. Segalanya terang dan nyata bagi kamu, tidak ada ragu dan tidak ada samar-samar lagi.

Oleh yang demikian, hendaklah kamu bersikap sabar dan sukarela dalam bertawakal kepada Allah. Perhatikan apa yang ada sekarang, hapuskan syak wasangka, diam, dan jangan banyak cakap. Berlumba-lumbalah menuju keredaan Ilahi, tawakalah kepada-Nya, serta tawaduk dan khusyuk kepada-Nya. Bersederhanalah sehingga takdir telah datang dan kamu dibawa dengan tangan kamu untuk menemui-Nya.

Kemudian itu, segala yang memberatkan kamu akan diringankan daripada kamu. Selepas itu, kamu akan ditenggelamkan ke dalam lautan reda, rahmat, dan kasih sayang Allah, serta kamu akan dipakaikan dengan pakaian cahaya (nur) dan rahsia ketuhanan yang maha tinggi, dan ilmu yang datang daripada Allah. Kamu akan dibawa hampir kepada-Nya dan berkata-kata dengan-Nya, serta diberi kurniaan dan dibebaskan daripada keperluan. Kamu akan diberi keberanian, kemuliaan, dan ketinggian. Firman ini akan ditujukan kepada kamu:

"Wa qalal-maliku 'tuni bihi astakhlishu li nafsi, falamma kallamahu qala innaka 'l-yauma ladaina makinun amin." (Surah Yusuf: 54)

Maksudnya: "[Maka apabila utusan itu telah sampai kepada Yusuf] raja berkata, 'Bawalah dia kepada ku agar aku memilih dia sebagai seorang yang rapat kepada ku.' Maka tatkala raja bercakap-cakap dengan dia, raja berkata, 'Sesungguhnya kamu mulai hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami.'"

Kemudian, cubalah agak dan anggarkan keadaan Nabi Yusuf AS apabila beliau ditujukan dengan perkataan-perkataan ini melalui lidah Raja Mesir, yang juga menjadi ketua dan Firaun di negeri itu. Pada zahirnya, lidah raja itu yang bercakap, tetapi sebenarnya adalah Tuhan yang bercakap. Allah yang berkata-kata melalui lidah ilmu. Kepada Nabi Yusuf, diberikan kerajaan zahir, iaitu kerajaan Mesir, dan juga kerajaan batin, iaitu kerajaan ilmu kerohanian, akal fikiran, kehampiran kepada Allah, kemuliaan, dan ketinggian di sisi Allah.

Firman Allah Ta'ala:

"Wa kadzalika makkanna li Yusufa fil-ardhi yatabawwa'u minha haitsu yasya'u, nushibu bi rahmatina man nasya'u wa la nudhi'u ajral-muhsinin." (Surah Yusuf: 56)

Maksudnya: "Dan demikianlah Kami memberi kedudukan kepada Yusuf di negeri Mesir; dia berkuasa penuh pergi menuju ke mana sahaja ia kehendaki di bumi Mesir itu. Kami melimpahkan rahmat Kami kepada sesiapa yang kami kehendaki, dan Kami tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik."

Bumi dalam ayat ini bermaksud Mesir. Berkenaan kerajaan kerohanian pula, Allah berfirman:

"Wa laqad hammat bihi wa hamma biha lau la an ra'a burhana rabbihi, kadzalika li nashrifa 'an-hus-su'a wal-fahsyai, innahu min 'ibadinel-mukhlashin." (Surah Yusuf: 24)

Maksudnya: "Dan sesungguhnya perempuan itu telah berhasrat kepada Yusuf, dan Yusuf juga berhasrat kepadanya sekiranya dia tidak melihat tanda (kekuasaan) Tuhannya. Demikianlah (Kami palingkan dia dari kemaksiatan) agar Kami menghindarkan daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya dia (Yusuf) itu termasuk hamba-hamba Kami yang terpilih."

Berkenaan kerajaan ilmu, Allah berfirman:

"Qala la ya'tikuma tha'amun turzaqani illa nabba'tukuma bi ta'wilihi qabla ay ya'tiyakuma, dzalikuma mimma 'allamani Rabbi, inni taraktu millata qaumil la yu'minuna billahi wa hum bil-akhirati hum kafirun." (Surah Yusuf: 37)

Maksudnya: "Yusuf berkata, 'Tidak disampaikan kepada kamu berdua makanan yang akan diberikan kepada kamu melainkan aku telah dapat menerangkan jenis makanan itu sebelum makanan itu sampai kepada kamu. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada apa yang diajarkan oleh Tuhanku kepada ku. Sesungguhnya aku telah meninggalkan agama orang-orang yang tidak beriman kepada Allah, sedang mereka ingkar kepada hari akhirat.'"

Apabila kamu telah ditujukan dengan perkataan-perkataan yang demikian, wahai orang-orang yang beriman, maka kamu telah diberi ilmu yang agung dan diberkati Allah, serta diberi-Nya kekuatan, kebaikan, kekuasaan, dan kewalian perintah yang melibatkan kerohanian dan bukan kerohanian, dan diberi kuasa menjadikan semuanya dengan izin Allah. Di akhirat kelak, kamu akan diberi tempat yang kekal dan bahagia di syurga, ditambah pula dengan melihat wajah Allah serta keredaan-Nya—dan inilah matlamat yang tidak terhad dan tidak ada hujungnya.

Perbincangan (0)

Belum ada komen. Jadilah yang pertama berkongsi pandangan!