Logo noorhisham.com
noorhisham.com Inspirasi • Ilmu • Pendidikan
Cikgu Noor Hisham
Motivasi

Syarahan yang Kedua Puluh Lapan

noorhisham.com 2 dibaca 0 komen
Syarahan yang Kedua Puluh Lapan

Syarahan yang Kedua Puluh Lapan

Kamu inginkan kesentosaan, kebahagiaan, keselamatan, kedamaian, keberkatan, dan kemerdekaan, tetapi kamu masih lagi dalam proses menghapuskan nafsu-nafsu kebinatangan kamu, masih berjuang dengan hawa nafsu kamu, dan masih lagi ingin kembali ke dunia atau ke akhirat, dan ini masih lagi ada sisa-sisa dalam diri kamu. Maka oleh itu, berjuanglah lagi hingga kamu berjaya. Jangan terburu-buru. Berjalanlah lambat-lambat agar selamat. Bersihkan diri kamu daripada sisa-sisa itu. Kamu masih lagi belum masuk ke dalam fana' jika masih ada juga

keinginan-keinginan kamu terhadap dunia atau makhluk-makhluk lain dengan lain perkataan, kamu masih lagi hendakkan apa-apa yang lain daripada Allah. Apabila kamu telah dapat melepaskan hati kamu daripada apa sahaja selain Allah, maka barulah kamu lepas daripada ikatan-ikatan yang menambat kamu untuk menuju kepada Allah. Apabila kamu telah lepas daripada segala itu dan kamu sedang berada di hadrat Allah, maka kamu akan dimuliakan dan firman ini dihadapkan Tuhan kepada kamu:

"Dan raja berkata: 'Bawalah Yusuf kepada ku, agar aku memilih dia sebagai seorang yang rapat kepada ku.' Maka tatkala raja bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: 'Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami.'"

Barulah kamu diberi kebahagiaan dan kesentosaan, kasih sayang dan reda Ilahi. Kamu akan dihampiri di sisi Dia dan segala rahsia Ilahi tidak lagi terlindung daripada kamu. Kamu akan diberi kebebasan daripada keperluan apa sahaja. Bebaslah kamu daripada segala-galanya dan berada di sisi Tuhan.

Tidaklah kamu lihat emas sama ada baik buatannya atau buruk buatannya, daripada berbagai-bagai bentuk dan rupa, bertukar-tukar tangan, pagi atau petang, dari dan kepada tangan penjual barang, penjual ubat, penjual daging, tukang kuli, tukang kayu, penjual minyak, tukang 

satu dan orang-orang lain? Emas-emas itu dipungut dan dikumpulkan, lalu diletakkan ke dalam alat pelebur oleh tukang-tukang emas, dan kemudian dilebur dengan menggunakan api, dan kemudian dikeluarkan daripada tempat pelebur itu, dan ditumbuk, dilembutkan, dan diukir supaya dijadikan alat perhiasan yang indah-indah. Emas itu dijadikan hiasan dan disimpan di tempat-tempat yang selamat dan rumah-rumah orang kaya, atau di dalam almari atau peti dan sebagainya. Emas itu juga mungkin dijadikan alat hiasan badan perempuan dan diheret-heret. Boleh jadi juga orang yang memakainya itu seorang yang ternama atau raja-raja. Begitulah emas itu daripada tempatnya mula diambil telah sampai ke tempat yang sebaik-baiknya seperti istana-istana dan sebagainya. Oleh itu, kamu juga, wahai orang-orang yang beriman, jika kamu bersabar dan menerima takdir Ilahi serta berserah dengan sukarela kepada-Nya dalam semua keadaan, maka kamu akan dihampiri oleh Allah di sisi-Nya dalam dunia fana ini, dan kamu akan dikurniakan dengan ilmu dan lain-lain ilmu serta rahsia. Dan di akhirat kelak, akan ditempatkan di dalam syurga yang aman damai berserta dengan rasul-rasul, nabi-nabi, orang-orang siddiq, orang-orang syahid, dan orang-orang soleh dalam keampunan Tuhan, dan di dalam rumah-Nya dan dekat dengan menikmati kasih sayang.

Oleh itu, sabarlah, jangan terburu-buru, redalah dengan takdir Ilahi, dan jangan merungut-rungut. Jika kamu berbuat demikian, maka sesungguhnya kamu akan mendapat keampunan-Nya, ilmu-Nya, kasih sayang, dan keredaan-Nya

Perbincangan (0)

Belum ada komen. Jadilah yang pertama berkongsi pandangan!