Logo noorhisham.com
noorhisham.com Inspirasi • Ilmu • Pendidikan
Log Masuk
Cikgu Noor Hisham
Motivasi

Syeikh Abu Ishaq Ibrahim bin Shahriyar Asy-Syaibani

noorhisham.com 1 dibaca 0 komen
Syeikh Abu Ishaq Ibrahim bin Shahriyar Asy-Syaibani
Solat pada waktu tengah malam, walaupun dilakukan secara ringkas, sangat besar kesan dan pengaruhnya.

Kisah Ke-16: Syeikh Abu Ishaq Ibrahim bin Shahriyar Asy-Syaibani

Pada suatu hari, Syeikh Abu Ishaq sedang memberikan syarahan. Dalam kalangan orang ramai yang hadir, terdapat seorang guru agama yang alim. Guru tersebut beranggapan bahawa Syeikh Abu Ishaq bukanlah seorang yang benar-benar alim kerana beliau dianggap suka menunjuk-nunjuk. Namun begitu, orang ramai tetap menghargai syarahan dan menghormati beliau.

Syeikh Abu Ishaq dapat membaca apa yang sedang difikirkan oleh guru tersebut. Lalu, beliau menunjukkan sebuah lampu yang sedang terpasang di hadapan mereka. Lampu itu terdiri daripada sebuah mangkuk yang diisi dengan air. Di atas permukaan air tersebut diletakkan lapisan minyak, manakala sumbu diletakkan di atas minyak. Itulah lampu atau kendil yang digunakan untuk menerangi ruang tersebut.

Syeikh Abu Ishaq berkata kepada lampu atau kendil itu:

"Saya baru sahaja mendengar perbualan antara air dengan minyak.

Air berkata kepada minyak, 'Akulah makhluk yang paling berguna di dunia ini. Jika aku tidak dijadikan, semua manusia akan mati kehausan. Namun, kamu tidak mempunyai sifat sepertiku. Mengapa pula kamu duduk di atas kepalaku? Kamu sangat sombong dengan kedudukanmu itu.'

Minyak menjawab, 'Aku memang kelihatan hina. Tetapi, lihatlah bagaimana asal-usulku. Aku bermula sebagai biji benih yang ditanam di dalam tanah. Kemudian, aku tumbuh menjadi pokok. Pokok itu ditebang, diperah dan akhirnya aku digunakan sebagai bahan bakar untuk menerangi orang lain.

Walaupun begitu, aku tidak mempedulikan penderitaan yang kutanggung kerana semuanya dilakukan demi faedah orang ramai. Oleh itu, Tuhan Yang Maha Pengasih telah mengurniakan kepadaku kemuliaan yang kamu rungutkan itu.'"

Mendengar kisah tersebut, guru yang alim itu berasa malu. Beliau terus menjatuhkan dirinya di kaki Syeikh Abu Ishaq dan meminta maaf atas perasaan dengki yang telah timbul dalam dirinya terhadap Syeikh Abu Ishaq.

Nasihat dan Kata-kata Hikmah Syeikh Abu Ishaq

  1. Seseorang tidak akan dapat menikmati kelazatan beribadah kepada Allah jika dia tidak membuang rasa terlalu mencintai segala perkara keduniaan.

  2. Syaitan berada dalam aliran darah manusia.

  3. Allah tidak akan menerima doa orang yang mencari nafkah melalui sumber yang haram.

  4. Kemuliaan bukanlah terletak pada pemakaian pakaian yang baik-baik, tetapi pada mengingati Allah dan mematuhi segala perintah-Nya.

  5. Orang yang hanya mencari kemuliaan dan harta benda keduniaan serta menghiasi dirinya dengan perkara-perkara tersebut ialah orang yang telah mati rohaninya.

  6. Orang yang sentiasa mengkaji dan mendalami al-Quran akan dilimpahi dengan kurniaan Allah.

  7. Kedudukan seseorang lelaki dan perempuan adalah sama di sisi Allah. Oleh itu, bagaimana pula soal perkahwinan boleh timbul dalam hatinya?

  8. Solat pada waktu tengah malam, walaupun dilakukan secara ringkas, sangat besar kesan dan pengaruhnya.

 

#Kisah ke16

Perbincangan (0)

Belum ada komen. Jadilah yang pertama berkongsi pandangan!