Syarahan yang Ke-22
Biasanya, Allah Subhanahu Wa Ta'ala menguji hamba-hamba-Nya yang beriman menurut darjat iman mereka. Sekiranya seseorang itu imannya kuat, maka ujiannya pun kuat juga. Ujian kepada rasul lebih hebat daripada ujian kepada nabi, ujian kepada nabi lebih hebat daripada ujian kepada abdal, dan ujian kepada abdal lebih hebat daripada ujian kepada wali. Tiap-tiap seseorang diuji menurut tinggi atau rendah imannya. Baginda SAW bersabda, "Sesungguhnya kami daripada golongan nabi-nabi adalah yang paling hebat ujiannya berbanding kalangan orang-orang lain."
Allah akan meneruskan ujian ini kepada mereka menurut tingkatan-tingkatan mereka agar mereka sentiasa berada di samping Tuhan dan tidak pernah lalai. Allah kasih kepada mereka dan Allah tidak mahu orang yang dikasihi-Nya berjauhan daripada-Nya.
Oleh itu, ujian tersebut adalah ibarat pengikat hati mereka, sebagai penjara jiwa mereka, serta menjauhkan mereka daripada tercenderung kepada apa-apa sahaja yang bukan tujuan hidup mereka. Ia juga menjauhkan mereka daripada berasa senang dan cenderung kepada apa-apa sahaja selain Allah Yang Maha Pencipta.
Apabila keadaan ini telah berkekalan dalam diri mereka, maka hancurlah hawa nafsu ammarah serta sifat kebinatangan mereka, dan keakuan diri mereka pun turut hancur.
Dengan itu, dapatlah mereka membezakan antara yang hak dengan yang batil. Maka segala tanda, tujuan, dan kehendak mereka terhadap keseronokan serta kebahagiaan hidup di dunia mahupun di akhirat hilang lenyap daripada mereka. Mereka berasa tenteram berada di sisi Tuhan, reda dengan ketentuan Allah, sabar terhadap ujian-Nya, selamat daripada kejahatan makhluk-Nya, serta mendapat kepuasan di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Dengan yang demikian, kekuasaan hati itu akan bertambah gagah dan dapat mengawal anggota-anggota badan. Ujian dan bencana itu menguatkan hati, meneguhkan iman dan sabar, serta melemahkan nafsu-nafsu kebinatangan dalam diri. Hal ini kerana, apabila kesusahan datang, si mukmin menunjukkan kesabaran, keredaan, serta berserah bulat-bulat kepada Allah. Maka Allah akan reda, menolong, dan memberi kekuatan kepada mereka. Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman, "Jika kamu bersyukur, sesungguhnya Aku akan tambahi lagi kurniaan itu."
Sebaliknya, apabila nafsu diri manusia itu menggerakkan hati untuk mencari sebarang matlamat hawa nafsu dan berfoya-foya, lalu hati itu menurut sahaja matlamat itu dan ini tanpa perintah Allah dan izin-Nya, maka akibatnya ialah lupa kepada Allah, syirik, dan dosa. Maka Allah akan menimpakan bencana, kesusahan, dan derita kepada mereka yang lalai itu sehingga hati dan fikiran mereka menjadi sakit.
Namun, jika hati mereka tidak mempedulikan panggilan kepada matlamat tersebut sehinggalah Allah mengizinkannya melalui ilham (bagi wali) dan wahyu (bagi para nabi dan rasul), lalu tindakan diambil berdasarkan ilham atau wahyu itu—sama ada berbentuk pemberian kurniaan ataupun bukan—Allah akan memberi ganjaran kepada hati tersebut dengan rahmat, keampunan, ketenangan, keredaan, cahaya, ilmu, kedampingan kepada Allah, merdeka daripada apa-apa keperluan, serta selamat daripada bahaya bencana.
Oleh itu, ketahuilah dan ingatlah; selamatkanlah diri kamu daripada ujian dengan bersungguh-sungguh waspada, iaitu dengan tidak terburu-buru menurut panggilan fikiran dan kehendaknya. Sebaliknya, hendaklah kamu menunggu dengan sabar keizinan Allah agar kamu selamat di dunia dan di akhirat kelak.