Syarahan yang Ke-27
Anggaplah baik dan jahat itu sebagai dua biji buah yang datang daripada dua batang dahan, tetapi daripada satu pokok. Satu dahan mengeluarkan buah yang pahit dan satu lagi mengeluarkan buah yang manis. Oleh itu, tinggalkanlah negeri dan pekan di mana buah-buahan daripada pokok ini dihantar, dan jauhkanlah diri daripada orang-orangnya. Pergilah ke pokok itu sendiri dan jadilah pengawal pokok itu. Dapatkan pengetahuan tentang kedua-dua dahan dan buah tersebut serta sekitarnya, dan tetaplah kamu berada dekat dahan yang mengeluarkan buah-buahan yang manis itu.
Makanlah buah yang manis itu dan jadikanlah ia sumber kekuatan kamu. Jauhkan diri daripada dahan yang mengeluarkan buah yang pahit itu kerana buah itu mungkin akan meracuni kamu. Apabila kamu bersikap sedemikian, terselamatlah kamu daripada semua kejahatan kerana kejahatan dan bencana itu datangnya daripada buah yang pahit itu.
Apabila kamu jauh daripada pokok itu dan kamu merayau-rayau di tempat yang jauh, lalu buah-buahan ini dibawa ke hadapan kamu dalam keadaan bercampur gaul sehingga kamu tidak tahu mana yang manis dan mana yang pahit, dan kamu terus memakan buah-buahan itu, maka mungkin kamu terambil buah yang pahit dan memakannya. Lantaran itu, kamu akan teracun dan membunuh diri kamu sendiri.
Jika pada mulanya kamu makan buah yang manis, lalu manisnya itu masuk ke dalam badan kamu dan kamu mendapat faedah daripadanya serta menjadi bahagia, maka ini pun masih tidak cukup. Besar kemungkinan kamu akan termakan buah yang pahit tanpa kamu yakin bahawa buah itu tidak pahit, lalu kamu akan mengalami apa yang telah saya katakan tadi.
Oleh yang demikian, tidaklah baik berjauhan daripada pokok itu dan jahil tentang buah-buahnya. Keselamatan hanya berada jika kamu berada dekat dan di samping pokok itu. Kebaikan dan kejahatan itu kedua-duanya adalah lakuan Allah Yang Maha Berkuasa jua. Firman Allah Ta'ala:
"Qalubnu lahu bunyanan fa'alquhu fil-jahim." (Surah As-Saffat: 97)
Maksudnya: "Mereka berkata, 'Dirikanlah sesuatu bangunan untuk (membakar) Ibrahim, lalu lemparkanlah dia ke dalam api yang menyala-nyala itu.'"
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Allah telah menjadikan manusia yang menyembelih dan juga binatang yang disembelih."
Lakuan atau perbuatan hamba Allah itu adalah ciptaan Allah, begitu juga hasil atau akibat daripada lakuan itu. Allah berfirman:
"Alladzina tatawaffahumul-mala'ikatu thayyibina yaquluna salamun 'alaikumudkhulul-jannata bima kuntum ta'malun." (Surah An-Nahl: 32)
Maksudnya: "[Iaitu] orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka), 'Salamun 'alaikum, masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.'"
Puji-pujian bagi Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah memberi lakuan itu kepada mereka dan berfirman bahawa kemasukan mereka ke syurga itu adalah kerana perbuatan atau lakuan mereka, padahal lakuan atau perbuatan itu sebenarnya adalah dengan pertolongan, keizinan, dan rahmat Allah jua. Nabi Besar Muhammad SAW bersabda, "Tidak ada seorang pun yang masuk syurga kerana perbuatan atau lakuannya sendiri sahaja." Baginda ditanya, "Dan bukan juga kamu, wahai Nabi Allah?" Baginda menjawab, "Ya, walaupun aku sendiri, kecuali Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadaku."
Semasa Baginda berkata demikian, diletakkannya tangannya di atas kepalanya. Perkara ini diceritakan daripada satu hadis yang diriwayatkan oleh Sayidatina Aisyah r.a. Oleh itu, jika kamu dapat melakukan perintah Allah, membuat kebaikan, dan berjaya menjauhkan diri daripada perkara yang haram, maka hendaklah kamu kembali dan berserah diri kepada Allah yang telah menjadikan kamu dapat berbuat demikian. Dia akan melindungi kamu daripada noda dan dosa, menambahkan kebaikan bagi kamu, serta memelihara kamu daripada noda dan dosa, baik dalam urusan agama mahupun dunia. Berkenaan hal keduniaan ini, Tuhan berfirman:
"Lau la idz sami'tumuhu zhannal-mu'minuna wal-mu'minatu bi anfusihim khairaw wa qalu hadza ifkum mubin." (Surah An-Nur: 12)
Maksudnya: "Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu, orang-orang mukmin dan mukminah tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan mengapa tidak berkata, 'Ini adalah suatu berita bohong yang nyata'?"
Berkenaan hal keagamaan pula, Allah berfirman:
"Ma yaf'alullahu bi 'adzabikum in syakartum wa amantum, wa kanallahu syakiran 'alima." (Surah An-Nisa': 147)
Maksudnya: "Mengapa Allah akan menyiksamu, jika kamu bersyukur dan beriman? Dan Allah adalah Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui."
Apakah yang dapat dilakukan oleh bencana dan malapetaka itu kepada seseorang yang beriman dan bersyukur? Kerana dia lebih hampir kepada keselamatan daripada malapetaka, bahkan dia sentiasa dalam keadaan mewah (jiwanya) kerana dia bersyukur. Allah berfirman:
"Wa idz ta'adzdzana Rabbukum la'in syakartum la'azidannakum wa la'in kafartum inna 'adzabi lasyadid." (Surah Ibrahim: 7)
Maksudnya: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.'"
Bahkan, iman kamu itu dapat memadamkan api neraka di akhirat kelak—api yang akan membakar orang-orang yang berdosa. Bagaimana pula iman itu tidak dapat memadamkan api malapetaka dalam hidup di dunia ini? Memang dapat, kerana perkara ini telah dirasai oleh orang-orang yang kuat imannya dan orang-orang yang telah mencapai darjat wali dengan izin dan pilihan Allah sendiri. Tiap-tiap orang tidak sunyi daripada mendapat malapetaka dalam hidup di dunia ini, tetapi semua ini dapat diatasi dengan keimanan yang tulen. Tiap-tiap orang diuji imannya dengan malapetaka, bencana, kesusahan, dan derita, tetapi kesemuanya itu hendaklah diatasi dengan iman yang kuat.
Orang yang lulus dalam ujian itu dapatlah membersihkan dirinya, lalu timbullah semangat tauhid dalam dirinya, dan hatinya akan dilimpahi dengan ilmu hakikat serta rahsia-rahsia Allah yang ghaib. Orang itu pun akan bertambah hampir dengan Tuhan semesta alam. Hati itu adalah ibarat rumah, dan rumah itu tidak boleh diduduki oleh dua orang; maka rumah itu hendaklah diduduki oleh yang Satu sahaja. Allah berfirman:
مَّا جَعَلَ اللّٰهُ لِرَجُلٍ مِّنْ قَلْبَيْنِ فِيْ جَوْفِهٖ ۚ وَمَا جَعَلَ اَزْوَاجَكُمُ الّٰـِٔيْ تُظٰهِرُوْنَ مِنْهُنَّ اُمَّهٰتِكُمْ ۚ وَمَا جَعَلَ اَدْعِيَاۤءَكُمْ اَبْنَاۤءَكُمْ ۗ ذٰلِكُمْ قَوْلُكُمْ بِاَفْوَاهِكُمْ ۗ وَاللّٰهُ يَقُوْلُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِى السَّبِيْلَ
(Surah Al-Ahzab: 4)
Maksudnya: "Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya; dan Dia tidak menjadikan isteri-isterimu yang kamu zihar itu sebagai ibumu, dan Dia tidak menjadikan anak-anak angkatmu sebagai anak kandungmu (sendiri). Yang demikian itu hanyalah perkataanmu di mulutmu sahaja. Dan Allah mengatakan yang sebenarnya dan Dia menunjukkan jalan (yang benar)."
Firman Allah juga:
قَالَتْ اِنَّ الْمُلُوْكَ اِذَا دَخَلُوْا قَرْيَةً اَفْسَدُوْهَا وَجَعَلُوْا اَعِزَّةَ اَهْلِهَآ اَذِلَّةً ۚ وَكَذٰلِكَ يَفْعَلُوْنَ (27:34)
Dia berkata: "Sesungguhnya raja-raja apabila memasuki suatu negeri, nescaya mereka membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; dan demikian pulalah yang akan mereka perbuat."
Mereka merendah-rendahkan orang-orang yang mulia dan menyusahaborang-orang yang senang. Jika hati itu dikawal oleh syaitan dan hawa nafsu, maka hati yang sedemikian itu akan mengawal anggota badan lalu melakukan perkara yang tidak senonoh. Jika hati itu telah dibersihkan daripada perkara-perkara tersebut, maka suburlah iman dan hati itu pun...
diduduki oleh tauhid, iman, dan ilmu Allah. Semua ini didapati setelah menempuh berbagai-bagai cubaan dan godaan.
Nabi Muhammad pernah bersabda, "Kami daripada golongan nabi-nabi adalah yang paling hebat diuji dan yang lain-lain itu menurut taraf mereka."
Nabi juga bersabda, "Aku mengetahui Allah lebih daripada kamu, dan aku lebih takut kepada-Nya lebih daripada kamu."
Orang yang hampir dengan Raja itu mestilah berwaspada dan sentiasa bersopan santun. Apabila seseorang itu dinaikkan taraf di sisi Dia, maka risiko pun makin besar kerana perlulah orang itu berterima kasih terhadap kurniaan-Nya dan mengabdikan diri kepada-Nya; berpaling yang sedikit daripada mematuhi Dia bererti membinasakan diri.
Firman Allah:
يٰنِسَاۤءَ النَّبِيِّ مَنْ يَّأْتِ مِنْكُنَّ بِفَاحِشَةٍ مُّبَيِّنَةٍ يُّضٰعَفْ لَهَا الْعَذَابُ ضِعْفَيْنِ ۗ وَكَانَ ذٰلِكَ عَلَى اللّٰهِ يَسِيْرًا (33:30)
"Hai isteri-isteri Nabi, siapa-siapa di antara kamu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, nescaya akan dilipatgandakan seksaan kepada mereka dua kali lipat. Dan adalah yang demikian itu amat mudah bagi Allah."
Allah berfirman demikian kepada mereka tersebut itu kerana kurniaan kepada mereka telah disempurnakan dengan membawa mereka di sisi Nabi. Bagaimanakah kedudukan seseorang yang hampir dengan Tuhan? Allah Maha Tinggi dan tidak ada sesuatu pun yang seumpama-Nya. Firman Allah:
فَاطِرُ السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ ۗ جَعَلَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا وَّمِنَ الْاَنْعَامِ اَزْوَاجًا ۚ يَذْرَؤُكُمْ فِيْهِ ۗ لَيْسَ كَمِثْلِهٖ شَيْءٌ ۚ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْبَصِيْرُ (42:11)
(Dia) Pencipta langit dan bumi. Dia menjadikan bagi kamu daripada jenis kamu sendiri pasangan-pasangan dan daripada jenis ternak pasangan-pasangan (pula), dijadikan kamu berkembang biak dengan jalan itu. Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.