Menjauhkan Diri daripada Perkara-perkara yang Haram
Kamu mestilah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang haram. Jika tidak, kamu akan binasa dan tidak akan terlepas daripada bahaya yang ditimbulkan oleh perkara-perkara tersebut, kecuali Allah menolong kamu dengan limpah kasih sayang-Nya.
Ada sebuah hadis yang menerangkan bahawa asas agama ialah menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang haram, manakala perkara yang merosakkan agama ialah sifat tamak haloba. Janganlah kamu menghampiri perkara-perkara yang haram kerana dikhuatiri kamu akan terdorong untuk mencuba dan merasainya.
Jangan sekali-kali menghampirinya kerana kamu mungkin akan terpengaruh. Umar bin al-Khattab radhiyallahu anhu pernah berkata:
"Kami biasanya menjauhkan diri daripada sembilan persepuluh perkara-perkara yang halal kerana kami khuatir akan terjerumus ke dalam perkara-perkara yang haram."
Abu Bakar as-Siddiq radhiyallahu anhu pula pernah berkata:
"Kami biasanya menjauhkan diri daripada tujuh puluh pintu perkara-perkara yang dibolehkan kerana khuatir akan terjerumus ke dalam dosa."
Kedua-dua tokoh ini sangat berhati-hati dan menjauhkan diri daripada menghampiri perkara-perkara yang haram. Dalam hal ini, mereka berpegang pada sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud:
"Berjaga-jagalah! Setiap raja mempunyai kawasan larangannya sendiri, dan kawasan larangan Allah ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya."
Barang siapa yang berjalan di sekeliling kawasan larangan itu, kemungkinan besar dia akan memasukinya. Namun, barang siapa yang telah memasuki pintu istana raja dan terus melalui pintu kedua serta ketiga hingga sampai ke bilik raja, keadaannya adalah lebih baik berbanding orang yang hanya berada di luar pintu pertama.
Hal ini kerana orang yang berada di luar pintu pertama terdedah kepada bahaya. Jika pintu ketiga tertutup, orang yang berada di dalam istana tidaklah begitu terancam kerana dia masih berada di antara dua pintu dan berhampiran dengan raja serta para pengawalnya.
Sebaliknya, bagi orang yang berada di luar istana, jika pintu pertama tertutup, dia akan terdedah tanpa sebarang tempat perlindungan. Dia mungkin dibaham binatang buas atau dibunuh oleh musuh.
Begitu jugalah perumpamaannya dalam hubungan seseorang dengan Allah. Jika seseorang itu patuh kepada Allah dan sentiasa mengikuti jalan-Nya, kemudian pertolongan, kekuasaan dan kurniaan Allah terputus daripadanya, dia masih belum terkeluar daripada lingkungan hukum-hukum Allah. Apabila dia meninggal dunia, dia tetap berada dalam keadaan taat dan menyembah Allah. Amalan-amalan baiknya pula akan menjadi saksi baginya.
Sebaliknya, seseorang yang tidak melaksanakan kewajipan-kewajipannya terhadap Allah berada dalam keadaan bahaya. Jika Allah tidak memberikan pertolongan kepadanya, hawa nafsu kebinatangannya akan menguasai diri. Dia akan terus melakukan perkara-perkara yang haram, melanggar hukum-hukum syariat dan akhirnya menjadi sahabat syaitan yang dilaknat Allah serta menyimpang daripada jalan yang lurus dan benar.
Jika dia meninggal dunia sebelum sempat bertaubat, maka termasuklah dia dalam golongan orang-orang yang rugi, kecuali jika Allah mengampuni dan merahmatinya.
Oleh itu, orang yang tidak melaksanakan kewajipan-kewajipannya terhadap Allah sentiasa berada dalam bahaya, manakala orang yang melaksanakan segala kewajipannya berada dalam keadaan selamat.