Ada empat jenis manusia. Satu jenis ialah mereka yang tidak ada lidah dan tidak ada hati. Mereka ini ialah orang-orang bertaraf biasa, berotak tumpul dan berjiwa kerdil, yang tidak mengenang Allah dan tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini ibarat melukut yang ringan, kecuali mereka dilimpahi dengan kasih sayang-Nya dan membimbing hati mereka supaya beriman serta menggerakkan anggota-anggota mereka supaya patuh kepada Allah.
Berhati-hatilah supaya kamu jangan termasuk dalam golongan mereka. Janganlah kamu layan mereka dan bergaul dengan mereka. Merekalah orang-orang yang dimurkai Allah dan penghuni neraka. Kita minta dilindungi Allah daripada pengaruh mereka.
Sebaliknya, kamu hendaklah cuba menjadikan diri kamu sebagai orang yang dilengkapi dengan ilmu ketuhanan, guru kepada yang baik, pembimbing kepada agama Allah, pemimpin dan pengajak manusia kepada jalan Allah. Berjaga-jagalah jika kamu hendak mempengaruhi mereka supaya mereka patuh kepada Allah dan beri amaran kepada mereka terhadap apa-apa yang memusuhi Allah. Jika kamu berjuang di jalan Allah untuk mengajak mereka menuju Allah, maka kamu akan jadi pejuang dan pahlawan di jalan Allah dan akan diberi ganjaran seperti yang diberi kepada nabi-nabi dan rasul-rasul.
Nabi besar Muhammad SAW pernah bersabda kepada Sayidina Ali:
"Jika Allah membimbing seseorang melalui bimbingan kamu, maka itu lebih baik kepada kamu daripada apa-apa sahaja di mana sahaja matahari terbit."
Satu jenis lagi manusia ialah mereka yang ada lidah tetapi tidak ada hati. Mereka bijak bercakap tetapi tidak melakukan seperti yang dicakapkannya. Mereka mengajak manusia menuju Allah tetapi mereka sendiri lari daripada Allah. Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain tetapi mereka sendiri bergelumang dalam maksiat itu. Menunjukkan kepada orang lain yang mereka itu soleh tetapi mereka sendiri melakukan dosa-dosa yang besar apabila mereka bersendirian. Mereka bertindak selaku harimau yang berpakaian.
Inilah orang-orang yang dikatakan oleh Nabi seperti sabda Baginda: "Yang paling ditakuti dan aku pun takut di kalangan umatku ialah orang alim yang jahat."
Kita berlindung dengan Allah daripada orang alim seperti ini. Oleh itu, lari dan jauhkan diri kamu daripada orang-orang seperti itu. Jika tidak, kamu akan terpengaruh oleh kata-kata manisnya yang bijak berbicara itu dan api dosanya itu akan membakar kamu dan kekotoran hatinya akan membunuh kamu.
Jenis yang ketiga ialah golongan orang yang mempunyai hati tetapi tidak ada lidah dan dia seorang yang beriman. Allah telah mendindingkan mereka daripada makhluk dan menggantungkan di keliling mereka dengan tadbir-Nya dan memberi mereka kesedaran tentang cacat cela diri mereka, menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan kerana bercakap banyak.
Ini tahu bahawa keselamatan itu terletak dalam diam dan berkhalwat. Nabi pernah bersabda: "Barang siapa yang diam akan mencapai keselamatan." Kata Baginda lagi: "Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri daripada 10 bahagian, sembilan daripadanya terletak dalam diam."
Oleh itu, mereka dalam golongan orang jenis ini adalah wali Allah dalam rahsia-Nya, dilindungi dan peri keselamatan, bijaksana dan rakan Allah, serta diberkati dengan keredaan. Segala yang baik akan diberi kepada mereka.
Oleh itu, kamu hendaklah berkawan dan bergaul dengan orang-orang ini dan beri pertolongan kepada mereka. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan dikasihi Allah dan kamu akan dipilih dan dimasukkan ke dalam golongan mereka yang menjadi wali Allah dan hamba-hamba-Nya yang soleh.
Jenis manusia yang keempat ialah mereka yang diajak ke dunia tidak nampak, diberi pakaian kemuliaan seperti dalam sabda Nabi:
"Barang siapa yang belajar dan mengamalkan pelajarannya dan mengajar orang lain, maka dia akan diajak ke dunia ghaib dan dipermuliakan."
Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga dan orang itu akan diberi Allah rahsia-rahsia yang tidak diberinya kepada orang lain. Allah telah memilih mereka dan membawa mereka hampir kepada-Nya. Allah akan membimbing mereka dan membawa mereka ke sisi-Nya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia ini dan ilmu-ilmu yang tinggi.
Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuannya, dan pengajak manusia kepada jalan Allah serta melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu orang-orang Allah. Mereka mendapat bimbingan yang benar. Mereka boleh memberi pertolongan kepada orang-orang yang menuju jalan Allah. Mereka jadi orang-orang yang benar, yang mengesahkan kebenaran orang lain. Mereka ibarat timbalan-timbalan nabi dan rasul-rasul Allah. Mereka sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah Yang Maha Agung.
Orang yang dalam golongan ini adalah pada peringkat terakhir atau puncak kemanusiaan dan tidak ada makam di atas ini kecuali kenabian. Oleh itu, hati-hatilah kamu supaya jangan memusuhi dan membantah orang-orang seperti ini dan dengarlah cakap atau nasihat mereka.
Oleh itu, keselamatan terletak dalam apa yang dicakapkan oleh mereka dan dalam berdampingan dengan mereka, dan kebinasaan serta kerosakan jika di luar daripada dampingan mereka.
Dan kebinasaan serta kerosakan di luar daripada dampingan mereka kecuali mereka yang Allah beri kuasa dan pertolongan terhadap hak dan keampunan.
Jadi, saya telah bahagi-bahagikan manusia itu kepada empat golongan. Sekarang terpulanglah kepada kamu untuk memeriksa diri kamu sendiri jika kamu mempunyai fikiran dan selamatkanlah diri kamu jika kamu ingin keselamatan.
Mudah-mudahan Allah membimbing kita menuju apa yang dikasihi-Nya dan diredai-Nya dalam dunia ini dan di akhirat kelak.
Sekian.